PEMAIN  beregu campuran berpengalaman, Chan Peng Soon mengucapkan selamat tinggal kepada badminton profesional apabila secara rasminya mengakhiri kerjaya sebagai pemain, hari ini.

Pakar beregu campuran kebangsaan berusia 36 tahun itu, mengakhiri kerjaya selama 18 tahun sebagai pemain badminton, pada perlawanan terakhir bersama Cheah Yee See pada pusingan pertama Masters Malaysia.

Bagaimanapun, gandingan itu bagaimanapun tewas kepada kepada pasangan China, Chen Xing-Li Qian 10-21, 6-21.

Pencapaian terbaik Peng Soon adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Goh Liu Ying.

Tahun lalu, Liu Ying mengumumkan persaraan pada Terbuka Malaysia.

Peng Soon ketika ditemui selepas tamat perlawanan, mengakui dia pada awalnya berasa samar-samar dengan masa depan sebagai pemain badminton.

Katanya, dia terpilih menyertai skuad pelapis kebangsaan pada usia 18 tahun (2006).

Chan Peng Soon sudah membuka beberapa akademi badminton, untuk meneruskan minatnya dalam sukan ini.

“Waktu itu saya perlu melalui tempoh percubaan selama enam bulan, sepanjang tempoh itu memang tiada gaji dan hanya diberikan tempat tinggal dan makan.

“Saya bertanya kepada diri sendiri sama ada sukan ini ada masa depan atau sebaliknya.

“Namun, saya perlu katakan yang saya tidak menyesal memilih badminton sebagai kerjaya. Badminton bukan sahaja mengenai keputusan atau sebagai sumber pendapatan saya tetapi ia membuka mata saya mengenai dunia luar.

“Apabila saya ke luar negara, saya dapat jumpa dengan ramai orang dan dapat belajar banyak perkara termasuklah budaya negara orang,” katanya.

Peng Soon mengakui, memenangi perak di Rio adalah detik paling bermakna dalam kerjayanya.

Katanya, kejayaan itu membuatkan dia berada dihargai apabila orang ramai mula memberikan tumpuan kepada acara beregu campuran.

Pencapaian terbaik Chan Peng Soon dalam kerier badminton, sudah tentu memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio.

“Di Malaysia, orang tidak pandang sangat acara beregu campuran tetapi bermula kejayaan di Rio, orang ada beri tumpuan sedikit tetapi masih kurang berbanding acara lain.

“Saya harap semua pihak dapat beri tumpuan yang sama rata dengan beregu campuran sebab kalau kami menang emas, ia juga turut menyumbang kejayaan kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Yee See turut mengumumkan persaraan hari ini.

Katanya, antara detik bermakna sepanjang kerjayanya adalah waktu dia dan gandingannya Hoo Pang Ron menyumbang mata kemenangan skuad negara ketika menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi suku akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.