MENYEDARI hakikat terlalu sukar untuk pemain skuasy negara memasang angan-angan merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles, ketika ini, namun kerja keras harus digembeleng bermula sekarang.
Pemain skuasy kebangsaan, Chan Yiwen berkata, tinggal kira-kira lima tahun sahaja lagi sebelum Temasya Los Angeles 2028 (LA28) akan bermula, masa yang ada cukup terhad buat atlet negara mencari potensi untuk meraih pingat di temasya itu.
Namun, baginya, usaha seharusnya datang daripada pelbagai pihak kerana dengan kudrat atlet sahaja tidak cukup.
“Sudah tentu semua atlet mahu beraksi di Sukan Olimpik, apatah lagi sukan kami yang pertama kali akan dipertandingkan di Los Angeles.
“Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam lima tahun akan datang tetapi ketika ini, jurang kita, ranking kita jauh daripada Top 10,” kata Yiwen, yang kini berada di ranking ke-77 dunia.
Justeru, dalam tempoh tahun ini, Yiwen, 23, berharap dia dan rakan-rakannya dapat mengurangkan jurang prestasi dengan pemain ternama dunia.
Dia yang pernah berada di ranking tertinggi ke-62 dunia pada September tahun lalu berkata, dia sendiri perlu cepat matang dalam strategi perlawana.
Ketika ini, Yiwen memilih pemain Mesir sebagai pilihan utama untuk memenangi pingat di LA28.
Katanya, meskipun temasya itu sudah hampir, namun format kelayakan belum diumumkan badan induk skuasy dunia.
Jadi, dia berharap agar banyak pihak korporat tampil membantu menyediakan dana untuk pemain skuasy menghadapi kejohanan-kejohanan jelajah dunia, “Lebih banybak pendedahan, lebih banyak pengalaman.
“Ketika ini, kami tidak cukup kejohanan, hanya perlu memilih kejohanan tertentu.”
Ketika ini, pemain Mesir menguasai Top 10 wanita dengan tiga daripada mereka memonopoli tiga teratas.
Pemain terbaik negara ketika ini, Aifa Azman menghuni tangga ke-25, diikuti S Sivasangari (32), Rachel Arnold (39), Aira Azman (52), Low Wee Wern (61) dan Ainaa Amani Ampandi (66).