KELANTAN Darul Naim FC telah berjaya merekrut khidmat Che Ibrahim Che Ismail untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar kelab, dengan memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Bola Sepak KDNFC.

Beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad telah menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Datuk Sr. Zamri Ismail yang telah meletakkan jawatan pada bulan Mei lepas.

Pengumuman pelantikan Che Ibrahim atau dipanggil Pak Nik telah diumumkan sendiri oleh Presiden KDNFC, Rozi Muhamad pada Jumaat di Pejabat Urusan Kelab di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Melalui pelantikan yang dibuat, Che Ibrahim mendedahkan fokus utama beliau bersama Presiden serta barisan kepimpinan kelab, iaitu untuk membantu menjadikan kelab Sang Kijang Emas sebagai sebuah kelab yang berdaya saing serta disegani.

Che Ibrahim komited galas peranan baharu yang dipikul bersama KDNFC.

“InshaAllah, dengan kerjasama semua pihak terutama jawatankuasa kelab akan bekerja keras untuk nenghadapi segala cabaran yang mendatang.

“Kami akan meletakkan KDNFC sebagai sebuah kelab berdaya saing dan disegani sekaligus membanggakan nama negeri yang kita sayangi ini.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan ini dan mohon kerjasama dari semua pihak untuk terus kekal bersemangat untuk membawa sukan bola sepak Kelantan ke mercu kejayaan pada musim ini,”ujarnya.

Sementara itu, Rozi Muhamad optimis bahawa pelantikan Che Ibrahim akan membantu melancarkan lagi pengurusan Kelantan Darul Naim FC sejurus mengalu-alukan dirinya untuk membimbing dan menatang kelab sehingga ke mercu kejayaan.