PASUKAN Bola Jaring Johor Jewels mendapat tonik tambahan menjelang minggu kedua saingan Netball Super League (NFL) apabila dijemput untuk majlis santapan malam bersama Penaung DiRaja Bola Jaring Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam di Istana Pasir Pelangi pada Khamis.
Che’ Puan Besar Khaleeda yang meminati sukan bola jaring kelihatan ceria beramah mesra bersama-sama kesemua pemain dan pegawai Johor Jewels yang kini sudah mencatat tiga kemenangan dari tiga perlawanan awal NSL 2022.
Johor Jewels sememangnya serius dalam penampilan mereka dalam NSL musim ini dengan berjaya menandatangani pemain negara An Najwa Azizan dan juga dua pemain antarabangsa dari Sri Lanka dan Thailand.
Turut hadir pada majlis santapan malam itu adalah Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan juga Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib.
Johor Jewels dijadualkan menentang Negeri Sembilan Venom pada Jumaat sebelum bertemu Melaka Mystic pada Ahad dengan sasaran mencari kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dalam liga.