KALI kedua gagal membawa pulang pingat emas buat kontinjen negara di Sukan Para Asia, membuatkan Cheah Liek Hou nekad berazam mahu membalas dendam ke atas jaguh Indonesia, Dheva Anrimusthi.
Kekalahan di final perseorangan lelaki SU5 pada Temasya Hangzhou, hari ini, amat sukar ditelan Liek Hou namun dia harus menerima hakikat itu.
“Saya tidak puas hati tetapi tetap kena terima kekalahan ini, saya perlu hadapinya dan melakukan persiapan untuk kejohanan lain.
“Awal tahun hadapan ada Kejohanan Dunia dan saya berharap, kejohanan-kejohanan besar… saya dapat membalas dendam untuk diri saya dan Malaysia,” kata Like Hou yang kecewa, gagal menyumbang emas kepada negara.
Pada aksi final di Gimnasium Binjiang itu, Liek Hou bermula garang memenangi set pertama 21-18 ketika menentang musuh tradisinya, Dheva.
Bagaimanapun, Dheva berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan selepas bangkit menenangi set kedua 21-19.
Set ketiga menyaksikan permainan didominasi Dheva yang melakar kemenangan 21-17 sekali gus mempertahan kejuaraan yang dimenanginya pada edisi 2018 di Jakarta, Indonesia.
“Saya sudah cuba bermain dengan penuh sabar tapi hari ini dia diiringi tuah, pukulan-pukulan terkena jaring kemudian masuk dan sebagainya, ia mengganggu rentak saya terutamanya ketika kedudukan sengit 17-17, 18-18.
“Pada set kedua, saya ketinggalan jauh 7-11 tapi berjaya mengejar hingga dibezakan dua mata, sebelum saya melakukan kesilapan sendiri.”
Kejohanan Dunia Para 2024 akan berlangsung di Pattaya, Thailand pada Februari.
Liek Hou sebelum ini pernah dua kali memenangi emas Temasya Sukan Asia iaitu pada edisi 2010 di Guangzhou, China dan 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Namun, dia gagal mempertahankan emas miliknya apabila sekadar membawa pulang gangsa dari Jakarta pada 2018.