JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou akan memulakan misi mempertahankan emas Sukan Paralimpik, apabila dijadual turun beraksi menentang wakil Poland, Bartłomiej Mroz di Porte de La Chapelle Arena, untuk saingan peringkat kumpulan kategori SU5 (kecacatan fizikal) lelaki esok.

Liek Hou yang diletakkan sebagai pemain pilihan bersama Fang Jen Yu dari Taiwan, tentunya mahu memulakan kempen dengan langkah kanan dan meyakinkan bagi merebut dua tempat teratas Kumpulan A, seterusnya ke peringkat separuh akhir.

Atas kertas, Like Hou dijangka berdepan saingan daripada pemenang pingat gangsa Tokyo 2020 dari Indonesia, Suryo Nugroho yang sekarang ini menduduki ranking keenam dunia.

Cheah Liek Hou antara yang menjadi tumpuan di Paris, bagi mempertahan pingat emas dimenangi di Temasya Tokyo 2020.

Seorang lagi pemain yang turut diundi dalam kumpulan berkenaan ialah wakil tuan rumah, Meril Loquette, pemenang dua emas di Kejohanan Para Eropah tahun lalu.

Liek Hou, 36, menduduki ranking no.1 dunia, sudah dalam keadaan bersedia dan teruja tanpa sebarang tekanan walaupun mempunyai status sebagai penyandang emas.

“Kejohanan Paralimpik kali ini lagi mengujakan. Sebab kita (saya) sudah berada di Paris. Walaupun jauh dari Malaysia, saya rasa tenang dan sudah bersiap sedia,” katanya, menerusi akaun media sosial, Facebook.

Ujar pemain yang merangkul tujuh kejuaraan dunia perseorangan lelaki itu, dia juga sudah mula membiasakan diri dengan keadaan gelanggang di Paris sejak tiba di negara berkenaan tiga hari lalu.

“Latihan hari pertama di bumi Paris segala-galanya berjalan, doakan yang terbaik untuk saya. Saya janji akan buat yang terbaik demi Malaysia. Menang untuk Malaysia,” katanya, yang berada di bawah bimbingan jurulatih Indonesia, Nova Armada.

Jika berjaya ke separuh akhir, dia berkemungkinan berdepan Jen Yu atau lawan yang ditumpaskannya di final Tokyo 2020, Dheva Anrimusthi dari Indonesia.

Bagaimanapun, kemampuan seorang lagi pemain negara, Fareez Anuar yang turut berada dalam Kumpulan B juga tidak boleh diperkecilkan, begitu juga dengan pemenang tiga gangsa Kejohanan Dunia, Taiyo Imai dari Jepun.

Setakat ini, kem negara berjaya mengumpul enam emas sepanjang penyertaan di Sukan Paralimpik secara keseluruhan dengan tiga daripadanya diperoleh di Rio 2016 dan tiga lagi di Tokyo 2020.

Untuk rekod, Malaysia menghantar 30 atlet dari lapan jenis sukan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan berlangung hingga 8 September ini.