PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dijangka menggunakan pelbagai talian hayat yang ada bagi membentuk skuad mantap menghadapi kempen Piala Thomas 2024, apabila kelibat pemain profesional, Cheam June Wei kelihatan menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Masih belum memutuskan senarai pemain yang akan memperkuat skuad negara pada kejohanan berpasukan itu, BAM nampaknya mahu menilai keputusan terbaik dalam membariskan pemain perseorangan selepas Ng Tze Yong masih belum pulih dari kecederaan dan Lee Zii Jia sibuk dengan persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock berkata, June Wei berada dalam radar mereka namun tetap perlu melalui proses penilaian prestasi sebelum senarai akhir pendaftaran pemain ke kejohanan berpasukan berprestij dunia di Chengdu itu tamat pada 14 April ini.
“Of course (June Wei)… line up belum 100 peratus lagi. Kita akan senaraikan pemain single terbaik dan bukan untuk pendedahan,” katanya selepas sesi latihan pagi di ABM.
Beliau berkata, June Wei, 27, mula menjalani latihan bersama skuad kebangsaan hari ini, ketika pasukan Lee Zii Jia belum memberi kata putus.
Dalam perkembangan berkaitan, Seu Bock berkata, Tze Yong memerlukan masa sekurang-kurangnya enam minggu selepas pembedahan kecil untuk cergas, namun perkara paling getir dialami pemain nombor 18 dunia itu adalah perasaan trauma.
“Bagi saya tahap trauma Tze Yong lebih teruk daripada Datuk Lee Chong Wei dulu. Ini disebabkan basic ability seperti kekuatan fizikal antara kedua-dua pemain itu berbeza. Chong Wei kuat manakala Tze Yong sebaliknya,” ujar Seu Bock lagi.
Tze Yong, 23, mengalami kecederaan belakang pada saingan Terbuka Malaysia, Januari lalu, sekali lagi mengalami kesakitan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada Februari sehingga menjalani pembedahan, sekali gus memaksanya akur terlepas tiket ke Paris 2024.
Sementara itu, legenda badminton negara, Chong Wei terseliuh kaki, ketika memperkuat pasukan pada saingan Piala Thomas, Mei 2012 di Wuhan, China, berjaya bangkit dari trauma dan merangkul pingat perak Sukan Olimpik London.
Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia berada satu kumpulan dengan pilihan ¾ Denmark, Hong Kong dan Algeria.