CHEF selebriti terkemuka dari Turkiye, Nusret Gokce atau dikenali sebagai Salt Bae dibanjiri kritikan kerana menyentuh malah memegang trofi Piala Dunia 2022 yang dimenangi Argentina.

Salt Bae mendapat cemuhan kerana menyentuh trofi suci Jules Rimet. Trofi hanya boleh disentuh oleh pemain, pasukan rasmi atau pegawai tertinggi negara juara dunia.

Rakyat Argentina sendiri tidak dibenarkan memegang secara langsung lambang ketuanan pasukan bola sepak terbaik di dunia.

Sementara itu, Gokce yang bukan sebahagian daripada pasukan Argentina memegang dan mengambil swafoto dalam pelbagai gaya termasuk bergambar bersama pemain sayap Angel Di Maria.

Rata-rata netizen mempersoalkan punca kewujudan Gokce di luar acara sambutan gelaran pasukan Argentina itu. Sebabnya, chef dari Turki itu tiada kaitan dengan Lionel Messi.

“Mereka telah bekerja keras untuk trofi itu. Anda tidak sepatutnya menyentuhnya!” tulis seorang netizen.

“Anda tidak boleh menyentuh piala jika anda bukan pemain pasukan juara dunia,” kata seorang netizen dari Argentina.

Salt Bae bukan satu-satunya selebriti yang melanggar tradisi dengan rakus memegang trofi Piala Dunia. Pada tahun 2014, penyanyi Rihanna juga melakukannya.

Rihanna melanggar peraturan apabila dia menyentuh trofi semasa pesta kemenangan perlawanan Jerman. Dia turut memuat naik selfie yang kemudiannya dibanjiri kritikan.

Trofi emas 18 karat adalah salah satu anugerah yang paling dicari di dunia.