CHELSEA semakin hampir menyambar khidmat penyerang Atletico Madrid, Joao Felix dengan loan sepanjang musim berlangsung.

Pemain berusia 23 tahun itu beraksi untuk Portugal dalam saingan Piala Dunia dan berhasil menjaringkan satu gol dalam lima persembahannya dalam kejohanan tersebut.

Sebelum ini, Felix dikhabarkan berjaya menambat hati kelab Arsenal dan Manchester United namun lebih memilih untuk bersama The Blues.

Atletico berjaya menjadikan Felix menjadi pemain kelima termahal apabila mereka sanggup membayar yuran perpindahan berjumlah 113 juta Euro kepadanya yang baru berusia 19 tahun ketika itu dari kelab asalnya, Benfica.

Biarpun aksinya kadangkala memukau, namun dia gagal untuk menyajikan persembahan konsisten ketika bersama Atletico Madrid.

Pemilik Chelsea, Todd Boehly sedang meneliti barisan pemain yang akan dibawa masuk bagi menjadikan The Blues sebuah pasukan yang kuat seperti sebelum ini.

Chelsea menerima tamparan hebat setelah terperosok pada kedudukan ke-10 liga serta tewas mengejut 4-0 kepada Manchester City dalam pusingan ketiga Piala FA.

Sejurus membantu Portugal mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia, dia sempat bermain dua kali bersama Atletico Madrid.

Untuk rekod, dia berjaya menyumbang satu gol ketika membenam Elche 2-0 dalam aksi La Liga sebelum ditundukkan Barcelona 1-0 pada saingan sama.

Pemain tersebut juga berjaya menyumbat lima gol serta tiga bantuan jaringan untuk Atletico Madrid sepanjang 20 penampilannya musim ini.