DEBARAN, keterujaan, menyelubungi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang bakal membuat penampilan pertama di Kejohanan Dunia yang akan membuka tirai saingan Isnin depan.
Manakan tidak, gandingan yang bermula dari ranking ke-157 dunia itu, hanya mengambil tempoh sembilan bulan untuk menempatkan diri dalam kelompok 20 ranking teratas dunia ketika ini, apabila berada di kedudukan ke-16.
Bimbang kemajuan mereka bersifat sementara, Tang Jie mengambil pendekatan meletakkan diri sebagai pesaing kerdil di kejohanan terbabit.
Mengakui masih banyak perlu dipelajari apatah lagi membuat penampilan sulung di Kejohanan Dunia, dan mendapat bye di pusingan pertama, berikutan kerana memegang status pilihan.
“Kami tidak memandang rendah siapa lawan yang bakal dihadapi (di Copenhagen), lagi pun pada tiga kejohanan terakhir, kami beraksi dengan kurang baik. Kami akan terus kekal berlatih, mencari rentak terbaik dan fokus pada diri sendiri.
“Kami tidak memikirkan pasangan lawan, hanya mahu mendesak diri sendiri (menjadi terbaik). Setiap kali kami berjaya mendapat keputusan yang baik, lawan akan sentiasa mengkaji permainan kami.
“Itu antara benda yang harus kami cari. Mereka sudah tahu cara kami bermain dan kami perlu mengubahsuai mengikut situasi,” kata Tang Jie.
Tang Jie-Ee Wei dijangka berdepan halangan berliku menentang pasangan Hong Kong, Reginald Lee-Ng Tsz Yau di pusingan kedua dan perlu mengulangi pencapaian ketika menang dengan gandingan berkenaan di suku akhir Terbuka Singapura tahun ini.
Sementara itu, Ee Wei mengakui agak teruja untuk tampil kali pertama di Kejohanan Dunia dan berjanji akan membuat persiapan sebaik mungkin serta berdepan lawan bermati-matian di Denmark nanti.
“Kita akan bincang kembali tengok semula perlawanan kami sebelum ini dan mempersiapkan diri sebaik mungkin. Saya rasa ia adalah aksi yang sengit (berdepan Reginald-Tsz Yau),” kata pemain kelahiran Melaka itu.
Selain Tang Jie-Ee Wei turut beraksi di kejohanan berkenaan ialah pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang diletakkan sebagai pilihan ke-10, manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing perlu melalui aksi pusingan pertama menentang Hussein Shaheed-Fathimath Nabaaha Abdul Razzaq dari Maldives.