BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei nampaknya terus konsisten tersingkir di pusingan kedua musim ini, apabila gagal ke suku akhir kali ketiga berutut-turut selepas tunduk di tangan wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam pertarungan tiga set.
Berbekalkan tenaga yang segar selepas tidak perlu ‘bermandi peluh’ untuk mengharungi pusingan pertama Indonesia Masters, susulan lawan mereka dari Taiwan menarik diri, tidak memberi kelebihan kepada Tang Jie-Ee Wei yang tewas dalam pertarungan tiga set 21-12, 13-21, 14-21.
Ini adalah kali ketiga berturut-turut Tang Jie-Ee Wei terkandas di pusingan kedua selepas turut mencatat keputusan sama dalam dua kejohanan awal musim ini di Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
Dalam pada itu, prestasi cemerlang, pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao gagal diteruskan apabila turut tersingkir di pusingan kedua hari ini.
Walaupun cuba untuk memberi tentangan namun pengalaman nyata membezakan Jun Hao dengan lawannya yang juga wakil tuan rumah dan pemain nombor empat dunia, Anthony Sinisuka Ginting apabila tewas 15-21, 17-21 pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan.
Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut bekas juara remaja Asia itu di tangan Ginting selepas mengalami nasib sama di Terbuka Hong Kong, tahun lalu.
Semalam, Jun Hao yang bermula daripada pusingan kelayakan berjaya menumbangkan pemain ranking ke-11 dunia, Kenta Nishimoto 21-17, 21-17 pada aksi pusingan pertama.