BERJAYA menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia sudah cukup membuktikan bahawa beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memiliki kemampuan mencipta kejutan di Jelajah Dunia Akhir, yang akan berlangsung di Hangzhou, China.

Kejohanan yang akan bermula 13 hingga 17 Disember itu boleh menjadi pentas kejutan kerana gandingan beregu campuran negara itu, akan beraksi dalam format kumpulan buat kali pertama sejak digandingkan November lalu.

Malah, aksi tarikh aksi di Hangzhou menjadi genap setahun buat Tang Jie-Ee Wei yang memenangi gelaran pertama di Cabaran Antarabangsa Bangladesh 11 Disember tahun lalu, tentunya mahu diulang pasangan yang berada di ranking kesembilan dunia itu.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meraih gelaran pertama di Cabaran Antarabangsa Bangladesh, Disember tahun lalu.

Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, Tang Jie-Ee Wei sudah berada di tahap yang cukup baik biarpun terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat membabitkan 22 kejohanan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun ini.

“Sasaran awal ketika saya mengambilalih mereka adalah Olimpik tapi sekarang mereka berjaya beraksi di Jelajah Dunia dan itu sangat bagus.

“Saya cakap dengan mereka bahawa mereka boleh pergi lebih jauh cuma terpulang kepada mereka saja sama ada mahu atau tidak,” katanya.

Nova Widianto yakin Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu cipta kejutan.

Nova berkata daripada tujuh pasangan yang layak ke Hangzhou, hanya dua pasangan belum pernah dikalahkan oleh Tang Jie-Ee Wei iaitu Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China dan Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun).

Manakala lima lagi pasangan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (China), Seo Seung Jae-Chae Yu Jung (Korea Selatan), Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand), Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin (China) dan Kim Won Ho-Jeong Na Eun (Korea Selatan), semuanya pernah tawanTang Jie-Ee Wei.

Justeru di atas kertas setiap pasangan mempunyai peluang namun apa yang penting adalah keyakinan dan kemahuan mereka sendiri sejauh mana mereka ingin melangkah.

“Untuk Jelajah Dunia ini saya harap mereka boleh melepasi halangan di peringkat kumpulan terlebih dahulu seterusnya layak ke separuh akhir. Tak perlu fikirkan untuk menjadi juara.

“Sekarang ini mereka dalam kelompok 10 terbaik dan Jelajah Dunia ini menawarkan mata yang banyak dan jika mereka berjaya menembusi kelompok lapan terbaik dunia selepas Jelajah Akhir ini, itu bermakna kedudukan mereka untuk ke Olimpik sudah terjamin,” katanya.