MENEROBOS masuk ke dalam Top 10 dunia, jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berpesan kepada Chen Tang Jie-Toh Ee Wei supaya tidak mudah berpuas hati.

Menurut Nova, kedudukan semasa ranking itu mencerahkan peluang Tang Jie-Ee Wei untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Jelas Nova, perjalanan masih panjang buat anak buahnya itu kerana masih banyak kejohanan yang perlu disertai sebelum saingan kelayakan ke Olimpik berakhir 28 April tahun depan.

Nova Widianto mahu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal konsisten dan mara sekurang-kurangnya ke suku akhir setiap kejohanan.

“Dengan hasil (ranking) ini tentu sahaja peluang ke Olimpik lebih cerah, namun perjalanan masih panjang kerana perlu menghadapi banyak lagi kejohanan tetapi Tang Jie-Ee Wei sudah berada di landasan yang tepat.

“Bagi aksi di Hong Kong, kita sasar untuk dapatkan mata kelayakan, iaitu sekurang-kurangnya mara ke suku akhir. Sekiranya dapat melangkah lebih jauh ke separuh akhir, itu lebih bagus,” katanya.

Tang Jie-Ee Wei mencetuskan sensasi apabila mara ke separuh akhir Terbuka China minggu lalu sebelum tewas 16-21, 13-21 kepada beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Tiga gelaran diraih Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tahun ini.

Kejayaan mara buat kali pertama ke separuh akhir saingan Jelajah Dunia Super 1000 itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melonjak dari ranking 11 ke nombor sembilan dunia sebaik sahaja ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dikemas kini hari ini (Selasa).

Gandingan negara itu cemerlang sepanjang tahun ini apabila sudah meraih tiga kejuaraan termasuk Cabaran Antarabangsa Iran (Februari), Orleans Masters (April) dan Terbuka Taiwan Jun lalu.

Tang Jie-Ee Wei akan beraksi pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong esok di Hong Kong Coliseum.