PELUANG beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bermula 9 hingga 14 April hadapan, tetap diambil serius gandingan campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, meskipun fokus utama mereka adalah Sukan Olimpik Paris.

Sebagai pemain profesional, Tang Jie berkata, dirinya dan Ee Wei seharusnya mempamerkan prestasi terbaik pada setiap kejohanan yang disertai.

“Keutamaan kami adalah Olimpik tetapi jika ada kejohanan lain yang perlu disertai, setiap pemain pastinya tak mahu kalah.

“Saya tidak anggap BAC ini semata-mata untuk memanaskan badan. Kalau ada peluang muncul juara, kenapa tidak kami cuba capai peluang itu,” katanya.

Perlawanan berintensiti tinggi tetap penting dilalui Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun laluan getir menanti Tang Jie-Ee Wei di BAC apabila diundi menentang beregu nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong seawal pusingan pertama.

Rekod pertemuan nyata tidak memihak kepada Tang Jie-Ee Wei yang tewas ketiga-tiga perlawanan sebelum ini dengan kali terakhir di Masters Jepun, November tahun lalu.

Namun Tang Jie-Ee Wei yang pernah mengejutkan beberapa pasangan utama dunia sebelum ini percaya sekiranya mereka dapat mempamer aksi terbaik pada hari perlawanan, segala-galanya tidak mustahil.

“Saya tak boleh ramal apa yang akan berlaku tetapi hanya mampu berikan yang terbaik pada hari perlawanan.

“Perkara paling penting adalah lakukan persediaan untuk perlawanan itu bersama fikiran yang berbeza. Seperti saya katakan tadi, setiap pemain mahukan kemenangan, begitu juga dengan kami,” kata Tang Jie.

Pasangan negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu terlepas untuk meraih gelaran Terbuka Switzerland selepas tewas kepada rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada aksi final, baru-baru ini.