BARU-baru ini, bekas jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe telah dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2023 yang dianjurkan oleh badan induk bola sepak tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Penganugerahan tersebut dianggap sangat bermakna oleh Cheng Hoe sendiri, setelah berkhidmat di Selangor sejak September 2022, dan kini telah ‘bertukar angin’ dalam mengendali pasukan Liga Thailand, Police Tero FC.

Selain memberi satu detik manis buat dirinya, ia juga merupakan satu batu loncatan buat jurulatih berusia 55 tahun itu untuk terus melakar kemenangan dan meningkatkan prestasi pasukan yang dikemudinya.

Cheng Hoe menerima gelaran Jurularih Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2023.

“Kemenangan itu hanya satu permulaan baharu untuk saya. Saya masih perlu bekerja keras dan menaik taraf diri saya, tambah lagi untuk berhadapan cabaran di Thailand.

“Terima kasih buat seluruh warga dan peminat Selangor FC, pemain, pengurusan, barisan jurulatih dan semua yang telah beri sokongan kepada saya. Tanpa semua, saya tidak dapat capai apa yang saya ada sekarang,” ujar bekas jurulatih Selangor FC.

Kini, jurulatih yang sebelumnya pernah memegang jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan akan terus menumpukan sepenuh perhatian terhadap Police Tero menjelang saingan-saingan yang dihadapi pada musim bola sepak 2024.

Barisan pemain utama skuad kendalian Cheng Hoe, Police Tero FC.

Beliau sempat meminta sokongan daripada semua peminat bola sepak Thailand terutama penyokong Police Tero FC untuk memberi kepercayaan sepenuhnya kepada beliau, sejurus kekal menyuntik semangat buat pasukannya untuk mara ke hadapan.

“Untuk menjadi jurulatih terbaik di sini (Thailand), saya memerlukan sokongan dan komitmen daripada semua untuk saling beri semangat yang terbaik buat saya. Liga Thailand cukup kompetitif dan ia salah satu bola sepak terbaik di Asia.

“Sebagai jurulatih, saya percaya jika semua orang berikan komitmen terbaik kepada pasukan, maka skuad itu akan berjaya di masa hadapan,” katanya lagi.