SELEPAS selesa dengan empat kemenangan berturut-turut di laman sendiri, pengendali Gergasi Merah Tan Cheng Hoe mengakui sukar untuk pemainnya memburu kemenangan di gelanggang lawan.
Pada aksi menentang Sabah FC malam tadi, rentak kemenangan Selangor FC lebur di Stadium Likas, sekali gus menyaksikan Skuad Badak mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri.
“Saya fikir perlawanan ini sukar untuk kami, kita tahu Sabah bermain agresif di laman sendiri dan kita pula tidak bermain seperti biasa.
“Sudah tentu kami tidak mengekalkan momentum yang ada dan Sabah pula lebih dahaga kemenangan, malah mereka menang hampir semua first ball, second ball dan memenangi perlawanan,” kata Cheng Hoe selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Datuk Ong Kim Swee mengakui, kehadiran kapten Baddrol Bakhtiar memberi impak besar dan memastikan strategi yang diatur berjalan seperti dirancang.
“Baddrol cukup berpengalaman, mempunyai penyudah yang baik malah dia seorang pemimpin yang cukup baik, boleh memimpin pemain senior dan muda serta pemain asing dan itulah kelebihan yang ada pada Sabah FC,” kata Kim Swee, yang mahukan momentum kemenangan itu diteruskan pada perlawanan seterusnya dalam aksi Liga Super 2023.