KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe nyata lega apabila skuad kendaliannya kembali menemui sentuhan kemenangan selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Isnin.

Meskipun mencatat kemenangan dan mengutip tiga mata untuk kekal di tangga kedua liga, namun Cheng Hoe tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan secara keseluruhan kerana dilihat agak santai selepas mendahului.

“Memang lepas kita leading 2-0 kita nampak selesa dan gagal kawal perlawanan tetapi apa yang penting adalah tiga mata walaupun kecewa kerana dibolosi pada hujung perlawanan.

“Saya kurang puas hati kerana ‘urgency‘ agak perlahan dan selepas mendahului kami terlalu selesa. Dalam bola sepak kita tidak boleh berikan keyakinan kepada pihak lawan kerana apabila selalu hilang bola tanpa tekanan, lawan akan ambil peluang jaringkan gol.

“Kemenangan ini memberi kami ‘moral booster‘ dan keyakinan untuk pasukan kerana sebelum perlawanan ramai penyokong yang mahu kami menang dengan jaringan besar tetapi pasukan lawan juga mempunyai sasaran untuk curi mata dari kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Cheng Hoe turut menjelaskan kelancaran serangan Gergasi Merah sedikit terganggu apabila Ayron Del Valle terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ibu jari kaki yang menyebabkan Faisal Halim gagal membentuk kombinasi baik di bahagian hadapan.

“Ayron ada kecederaan pada ibu jari kakinya dan menjejaskan kombinasi bahagian serangan kerana pertukaran taktikal dilakukan dan buatkan kelancaran pasukan tidak seperti biasa.

“Selepas Ayron dikeluarkan, gandingan dan ‘chemistry‘ Faisal terjejas namun dia tunjukkan satu komitmen dan aksi bahaya apabila membawa bola tetapi dia gagal jaringkan gol namun bagi kami barisan kejurulatihan dia beraksi dengan baik,” jelasnya.

Selangor juga sedar mereka tidak boleh lagi keciciran mata pada baki aksi pusingan kedua jika mahu terus berada di kedudukan terbaik dalam liga dan perlu bekerja lebih keras serta fokus kepada permainan.

“Kita tahu cabaran dari pusingan kedua ini bukan mudah dengan rata-rata pasukan ‘step up the game‘ dengan mengambil pemain baharu. Saya turut arahkan pemain untuk tingkatkan permainan mereka dan fokus dalam aksi kerana sikap dan karektor penting untuk pasukan harungi baki liga.

“Kami tidak boleh tercicir mata kerana kita mahu berada di tangga terbaik dan kena pastikan setiap perlawanan itu penting dan perlu berusaha keras serta tidak boleh berharap pada keputusan pasukan lain,” tambahnya lagi.

Kemenangan ini meletakkan Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 34 mata dan akan kembali ke padang latihan sebagai persediaan menghadapi Sri Pahang FC di Kuantan pada Ahad dalam misi meneruskan momentum kemenangan.