BEKAS pengandali Selangor FC, Tan Cheng Hoe akan mempertimbangkan keputusan untuk kembali ke Liga Malaysia sekiranya ditawarkan untuk membimbing mana-mana pasukan yang sedang mencari pengganti ketua jurulatih.

Walau bagaimanapun, Cheng Hoe tetap menegaskan bahawa keutamaannya masih untuk berada di luar negara, sekali gus sedang menunggu tawaran jurulatih daripada mana-mana kelab bola sepak luar negara.

Ini kerana perjalanan jurulatih berusia 56 tahun itu bersama kelab Thailand, Police Tero yang bermula pada awal tahun 2024, terhenti selepas pasukannya tersingkir ke saingan Thai League 2, menjadikan Cheng Hoe kini sebagai ejen bebas.

Cheng Hoe menjawab kebarangkalian untuk dia pulang ke Malaysia.

“Seperti yang sedia maklum, saya sedang berehat sekarang. Jadi setakat ini, keutamaan saya adalah untuk meneruskan kerjaya saya di luar negara,” ujarnya ketika dihubungi.

Ketika FLASH SUKAN bertanya mengenai kemahuannya bersama kelab di Malaysia, Cheng Hoe turut menjawab, “Saya boleh pertimbangkan tentang perkara itu, tetapi tetap keutamaan saya adalah untuk berada di luar negara.

“Mungkin rezeki atau jodoh belum sampai ke Malaysia, jadi saya masih menunggu tawaran dari kelab luar yang lagi sesuai,” tambah Cheng Hoe.

Pengendali berusia 56 tahun sedang menunggu tawaran luar negara dahulu.

Kini, terdapat tiga pasukan yang sedang memburu khidmat ketua jurulatih dimana Cheng Hoe juga boleh mempertimbangkan untuk kembali mengendali pasukan Liga Malaysia, seperti Selangor FC, Terengganu FC dan Penang FC.

Cheng Hoe juga merupakan pengendali berpengalaman selepas pernah membimbing pasukan kebangsaan, Kedah Darul Aman dan juga Selangor.