BERBAKI tidak sampai dua minggu sebelum saingan Liga Super bermula, Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui masih belum memutuskan barisan kesebelasan terbaik.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu sebaliknya ketika ini lebih memberi fokus untuk memperkemaskan persembahan Gergasi Merah sebelum liga bermula.
Tegasnya, pemain perlu kembali kepada corak permainan yang sudah diterapkan terutamanya memperbaiki kelemahan seperti kerap hilang bola hingga memberi kelebihan kepada lawan.
“Penat dan hilang tumpuan bukan alasan kepada pemain kerana mereka akan mengharungi perlawanan yang lebih sukar dalam Liga Super musim ini berdasarkan kepada persiapan rapi yang dilakukan pasukan lain.
“Perkara utama ketika ini adalah menyelesaikan masalah untuk memantapkan pasukan sebelum menetapkan barisan utama terbaik,” katanya.
Selangor dilihat pasukan yang bakal memberikan cabaran tampil dengan beberapa muka baharu dalam saingan Liga Super musim ini termasuk bekas penjaring terbanyak Liga Colombia, Ayron del Valle dan kapten Harimau Malaya, Faisal Halim.
Musim lalu Gergasi Merah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima selain muncul naib juara Piala Malaysia apabila tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir.