PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe gembira dengan semangat yang ditunjukkan para pemainnya ketika membenam Terengganu FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Selangor sebelum ini tewas 1-3 secara agregat kepada lawan yang sama dalam saingan Piala Malaysia dan Cheng Hoe lega apabila berjaya mencapai kemenangan sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga.

“Secara keseluruhan kita bangkit dengan satu jaringan awal yang beri kami keyakinan dan motivasi dalam perlawanan ini. Kita tahu bukan mudah bertemu Terengganu dan ini adalah kali ketiga kami bertemu mereka dalam dua minggu.

“Terengganu dalam prestasi terbaik apabila tidak tewas dalam 12 perlawanan tetapi kami juga dalam keadaan yakin meskipun tahu agak tertekan kerana mahukan kemenangan tetapi ‘attitude‘ pemain jelas tunjukkan mereka mahukan tiga mata,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, Cheng Hoe bimbang tempoh rehat yang panjang ekoran kalendar yang telah ditetapkan akan menjejaskan momentum pasukan untuk terus berada di landasan yang tepat untuk layak ke kejohanan Asia musim hadapan.

“Ya kita risau tentang momentum kerana rehat yang panjang dan perlu kekalkan prestasi pasukan dalam latihan. Tempoh dua bulan rehat sebelum bertemu Perak selepas ini dan kami perlu fokus umpama pra musim selain pemain perlu kekal cergas dan berada dalam kedudukan yang selesa selepas ini,” tambahnya.

Dua jaringan dari Yohandry Orozco serta masing-masing satu dari Faisal Halim dan Aliff Izwan cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Gergasi Merah untuk kekal di tangga kedua liga dengan berbaki tiga perlawanan.