PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui dia berpuas dengan komitmen yang ditunjukkan para pemainnya ketika menewaskan Perak FC 4-0 sekaligus semakin menghampiri peluang beraksi di pertandingan Asia musim hadapan.
Cheng Hoe juga menegaskan gol awal yang dijaringkan Sharul Nazeem pada minit ketiga perlawanan menambah keyakinan pemain untuk terus memburu gol dan memberikan aksi yang cukup baik di hadapan lebih 9,000 penyokong yang hadir ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana selepas dua bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sedikit sebanyak boleh menjejaskan momentum dan keyakinan pasukan.
“Tetapi sikap dan karektor pemain yang tunjukkan mahu kemenangan dengan gol awal memberikan keyakinan untuk mereka dapatkan gol seterusnya dan kini perlu fokus pada perlawanan selepas ini untuk layak ke Asia.
“Memang kita tahu pemain yang bermain dengan skuad kebangsaan membantu pasukan dengan membawa pengalaman bermain di pentas lebih tinggi kepada kelab tetapi pemain yang tidak bersama skuad kebangsaan juga komited dan menunjukkan mereka bersedia untuk perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu turut memuji gandingan beberapa pemain terutama Yohandry Orozco yang berjaya mencipta dan menjaringkan gol untuk Selangor namun dia turut menganggap semua pemain yang diturunkan faham akan kehendak yang diperlukan pasukan.
“Orozco bermain sangat baik bukan sahaja dalam perlawanan ini tetapi juga musim ini dan berharap dia kekalkan prestasinya terutama dengan kkepakaranya ketika situasi ‘set pieces’.
“Kesemua pemain juga berikan persembahan luar biasa dengan berjaya halang Perak dari bangkit dan setiap kali perbezaan gol itu amat penting kerana pemain tahu untuk menjalankan tugas mereka sama ada ketika menyerang mahupun bertahan,” jelasnya.
Gol-gol Selangor dijaringkan masing-masing satu dari Sharul Nazeem, Mukhairi Akmal, Yohandry Orozco dan Ayron Del Valle untuk memastikan Gergasi Merah semakin selesa dikedudukan kedua liga menjelang aksi penting bertemu Kedah Darul Aman FC pada 3 Disember 2023.