KEHADIRAN Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC jelas memberi nafas baharu kepada skuad tersebut apabila melakar kemenangan besar 5-0 dalam aksi yang berlangsung rancak di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Aksi separuh pertama jelas menjadi milik Gergasi Merah apabila mengawal keseluruhan permainan dan memiliki peluang terbaik menjaringkan gol seawal minit ke-8 menerusi Quentin Cheng namun ianya tepat ke dakapan penjaga gol Melaka United FC, Norazlan Razali.
Selang tujuh minit selepas itu, hantaran lintang Hein Htet Aung berjaya ditanduk kemas Mohd Nor Hakim Hassan bagi mencetak gol pertama Selangor FC.
Seakan menerima tonik baharu, Gergasi Merah terus menggandakan asakan dan berjaya menambah derita pelawat menerusi rembatan deras Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-32.
Aksi separuh masa kedua terus kekal milik Selangor FC apabila kapten pasukan, Brendan Seng Ling Gan berjaya menjaringkan gol ketiga menewaskan penjaga gol Melaka United FC meletakkan Gergasi Merah berpesta gol di Kelana Jaya.
Selangor FC terus bernafsu memburu jaringan menerusi Brendan Seng Ling Gan apabila sekali lagi berjaya mencetak gol keempat buat skuad kendalian Cheng Hoe.
Sepakan penalti pada minit akhir permainan diambil Herlison Caion de Souza berjaya menerjah jaring meletakkan Selangor FC berpesta gol di Kelana Jaya.
Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor FC berjaya menghuni tangga kelapan dengan 23 mata manakala Melaka United terperosok ke tangga ke 10 kekal dengan 18 mata.