KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menuntut barisan pemainnya untuk terus mengekalkan konsistensi mereka dalam semua perlawanan kerana setiap mata adalah penting untuk meletakkan pasukan di tahap yang lebih baik dalam liga.
Dia berkata demikian selepas Selangor sekali lagi bangkit dari ketinggalan pada babak pertama untuk mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Selasa.
Cheng Hoe juga memuji mentaliti mahukan kemenangan yang ditunjukkan pemain tetapi pada masa yang sama berpesan kepada setiap pemain agar tidak pernah mengambil mudah setiap perlawanan yang bakal ditempuhi.
“Secara keseluruhan pemain menunjukkan mentaliti yang baik untuk menang. Separuh masa pertama kami bermain perlahan dan tidak bermain sebagai satu pasukan dan jejaskan rentak tetapi separuh masa kedua kami berjaya mendominasi dan menang.
“Saya juga berpesan kepada pemain bahawa semua perlawanan adalah penting dan tidak mengambil mudah pasukan lawan kerana akan terdapat perbezaan dari sudut taktikal dan cara permainan serta mereka perlu bersedia untuk menghadapi semua situasi.
“Pasukan kami perlu sentiasa konsisten dan tidak boleh terumbang ambing kerana setiap perlawanan dan mata itu penting untuk pasukan berada pada tahap terbaik. Pemain perlu bekerja keras dan masih belum sampai tahap terbaik kerana kami masih fokus untuk meningkatkan tahap individu dan pasukan,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga menuntut beberapa pemain seperti Faisal Halim untuk meningkatkan lagi prestasi kerana dia adalah aset yang penting buat pasukan dan berharap Khuzaimi Piee dapat kembali bermain dalam masa penuh kerana pengalaman yang ada padanya mampu membantu pasukan.
“Kalau kita lihat Khuzaimi, dia adalah pemain yang fleksibel dalam posisi dan ini kelebihan buatnya dan pengalaman dia terutama dengan skuad kebangsaan banyak bantu pasukan dan harap dapat diturunkan dalam perlawanan akan datang.
“Faisal dapat jaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut namun banyak lagi yang boleh meningkat. Kami mahu dia menjadi ‘game changer’ dan harap dia lebih tenang dalam membuat keputusan kerana pasukan perlukan kepantasan dia untuk ubah permainan,” jelas Cheng Hoe.
Cheng Hoe turut memuji dua pemain importnya, Ayron Del Valle dan Yohandry Orozco yang meskipun kelihatan sukar bergerak tetapi penglibatannya dalam permainan banyak membantu pasukan selain sikap bekerja keras yang ditunjukkan ketika sesi latihan.
Dia juga mahu jarak dengan pendahulu liga JDT semakin jauh kerana tidak mahu menjejaskan keyakinan dan rentak permainan pasukan dan meminta pemainnya untuk mengambil kesempatan beraksi lebih baik di laman sendiri.
Jaringan lewat Sharul Nazeem membantu Selangor memungut tiga mata penuh dan kini berada di tangga kedua liga, ketinggalan lima mata kepada JDT selepas berakhir tujuh perlawanan dan akan bertemu Kelantan FC di laman sendiri pada Ahad.