PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan dua pemain import baharu yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua ketika membantu Selangor menang selesa keatas Penang FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu.
Cheng Hoe juga gembira dengan cara para pemainnya beraksi di bawah tekanan namun menegaskan perkara ini masih perlu diperbaiki jika Gergasi Merah mahu terus konsisten mencipta kemenangan dan menjadi pencabar dalam liga.
“Safuwan dan Boakye beri keyakinan pada pasukan terutama Safuwan yang tunjuk ketenangan dan pengalamannya di benteng dan mampu tambah keyakinan kepada barisan pertahanan untuk hadapi perlawanan akan datang.
“Kalau kita lihat secara keseluruhan, untuk satu pasukan kami perlu kerja keras agar lebih konsisten kerana kita masih dalam satu proses membina pasukan yang boleh bermain dengan permainan terbaik.
“Itu yang kadang kala pemain terleka dan kelab pula mempunyai ‘demand’ pada pemain yang menambah sedikit tekanan kepada pemain tetapi barisan kejurulatihan yakin pemain. Mereka juga unjukkan satu sikap ingin perbaiki diri dan lebih baik dari setiap perlawanan dan saya yakin konsistensi akan hadir,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bercakap mengenai kemenangan keatas skuad Harimau Kumbang, Cheng Hoe berkata gol pertama adalah ‘turning point’ buat pasukannya kerana pemain berjaya memanfaatkan peluang yang ada untuk menghasilkan jaringan.
Gol pertama adalah ‘turning point’ untuk beri kita keyakinan dan apa yang penting dalam apa jua situasi pemain kena hadapi tekanan dari mana-mana lawan untuk kita perbaiki pasukan dan bergerak ke hadapan tetapi yang penting sekali momen yang kita cipta telah dimanfaatkan kepada jaringan.
Bekas pengendali kebangsaan itu juga menjelaskan masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan trio serangan, Boakye-Ayron-Faisal tetapi dia percaya hanya masa akan menentukan ‘chemistry’ antara ketiga-tiga pemain ini.
“Masih terlalu awal untuk menilai ketiga-tiga pemain itu untuk dapat ‘good chemistry’ di bahagian serangan tetapi kita mengharap pada perlawanan akan datang rangkaian ini akan bertambah baik jika pemain beri tumpuan dalam setiap latihan,” jelasnya.
Selangor FC berjaya meraih tiga mata menerusi jaringan Noor Al-Rawabdeh, Richmond Boakye dan Faisal Halim untuk kekal di tangga kedua liga dengan 37 mata, 14 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim tetapi tiga mata dipisahkan dari Kedah Darul Aman dan Sri Pahang di tangga ketiga dan keempat.