PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan progres yang ditunjukkan para pemainnya ketika sesi latihan pra musim yang bermula sejak 5 Februari menjelang permulaan musim baharu Liga Malaysia pada Mei 2024.
Para pemain baharu dan sedia ada dilihat dapat mengadaptasi dengan baik sistem latihan yang diterapkan yang mana disesuaikan dengan kempen pramusim yang panjang selepas perubahan jadual Liga Malaysia.
“Sesi latihan kami telah berlangsung dengan baik setakat ini. Apa yang dapat dilihat adalah pemain sangat bersemangat sekaligus menjana suasana positif dalam pasukan.
“Dalam masa yang sama, barisan kejurulatihan kami telah menyediakan rutin latihan bagi memastikan semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik kerana mereka perlu menghadapi kempen pramusim yang panjang.
“Pemain-pemain baharu seperti Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Nooa Laine dan Azim Al Amin turut berlatih dengan efektif dan mengadaptasi baik dengan rakan-rakan sepasukan.
“Ini membuktikan yang semua yang terlibat memberikan kerjasama antara satu sama lain dan ini membuatkan saya tidak sabar untuk memulakan musim baharu,” katanya.
Cheng Hoe juga menjelaskan bahawa pemain-pemain yang mewakili skuad kebangsaan di Piala Asia pula masih diberikan cuti dan hanya akan melaporkan diri pada minggu akan datang.
Selangor FC akan memulakan aksi pramusim pada Mac di Thailand sebelum para pemain B-23 tahun kebangsaan akan dipanggil ke kem latihan pusat untuk persediaan ke Kejohanan Piala Asia B23 tahun di Qatar pada April.