PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui Sharul Nazeem Zulpakar merupakan antara pertahanan terbaik Selangor FC setelah berjaya menyekat beberapa percubaan berbahaya dari pemain import Terengganu FC.
“Kita tahu Afro (Sharul Nazeem) sejak kebelakangan ini nampak ketenangan permainan demi permainan terutama dari segi mampu mengawal penyerang import.
“Sudah tentu, jika kita lihat pada masa hadapan, dia bukan sahaja bakal menjadi salah seorang pemain terbaik Selangor malah pemain terbaik pasukan kebangsaan juga,” ujarnya semasa sidang media selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, dia turut memuji persembahan setiap pemain lain yang menunjukkan karakter dan ketahanan mental yang kuat meskipun bermain dengan sepuluh orang setelah Yazan Al-Arab dibuang padang.
“Permainan baik dari Selangor FC. Sejak Yazan dilayangkan kad merah, di situlah pemain menunjukkan karakter berada dalam keadaan mental yang kuat,” katanya.
Menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), pasukan Selangor FC bakal turun sebagai pasukan underdog serta perlu terus konsisten dan fokus andai berhasrat menjulang piala tertua di Malaysia itu sekaligus menempah slot ke saingan Piala AFC
“Final menentang JDT, kita adalah pasukan underdog. Secara keseluruhan, JDT tahun ini sudah banyak menang piala dan mereka cukup konsisten dalam Liga Malaysia.
“Sebagai jurulatih, saya masih menaruh harapan. Setiap pemain harus fokus, harus yakin untuk menentang JDT walaupun kita tahu kekuatan mereka menerusi Bergson dan Forestieri,” tambah Cheng Hoe.