PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan bahawa pemain yang diturunkan ketika membenam Kuala Lumpur City FC menunjukkan karakter yang baik meskipun terpaksa bermain tanpa beberapa tonggak utama.

Cheng Hoe juga memuji aksi pemain-pemain mudanya yang dilihat berjaya mempamerkan aksi yang matang dalam membantu pasukan memperolehi tiga mata dan mereka boleh menjadi prospek pada masa hadapan.

“Pemain yang diturunkan hari ini menunjukkan karektor yang baik walaupun sebelum perlawanan, satu tekanan buat kami untuk menang perlawanan ini, sejak dari sesi latihan lagi pemain sudah tunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan ini.

“Kita lihat bahagian pertahanan dan juga serangan bermain bersungguh-sungguh pada malam ini untuk mendapatkan kemenangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Cheng Hoe juga gembira kerana pemainnya sudah mula menunjukkan konsistensi yang menjadi masalah utama pasukan sejak awal musim dan dia melihat pemain juga sudah memahami kehendak taktikal yang diperlukan.

“Kami sememangnya kurang konsisten dalam perlawanan tetapi kini pemain sudah menunjukkan keserasian dan sudah memahami kehendak taktikal kerana ianya memerlukan masa.

“Pemain juga sudah kurang melakukan kesilapan individu tetapi masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan kami akan sentiasa meningkatkan prestasi bagi menghadapi perlawanan akan datang,” jelasnya.

Dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Selasa, dua jaringan dari pemain muda Harith Haiqal dan Mukhairi Ajmal memberikan tiga mata penuh buat Selangor dan pengendali itu berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain mudanya.

“Kita tahu salah satu kekuatan pasukan kita adalah ramai pemain muda yang berpotensi besar untuk masa depan, jika diberikan peluang mereka sentiasa menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.