PENAUNG Kedah Darul Aman FC  (KDA FC,) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang menjelaskan bahawa khidmat Aidil Sharin Sahak masih diperlukan bagi meneraju pasukan dalam saingan Piala AFC.

Jelasnya, jurulatih kelahiran Singapura itu perlu diberi peluang kerana rata-rata pemain pasukan KDA FC adalah skuad yang baharu dibentuk melibatkan pemain-pemain muda yang perlu terus memperbaiki kelemahan pasukan meskipun penyokong sudah kurang selesa dengan keputusan hambar pasukan kesayangan mereka kebelakangan ini.

Berikutan situasi itu, nama bekas pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe menjadi sebutan untuk mengambil alih posisi utama dalam barisan kejurulatihan KDA FC itu.

“Tidak ada rundingan dengan mana-mana pihak, yang disebut Cheng Hoe sebagai pengganti. Kita fokus kepada kejohanan AFC yang akan bermula Selasa ini dan fokus kepada semua aspek dari segi kejayaan pemain pun perlu diberi tanggungjawab yang lebih besar.

Aidil masih diperlukan dalam skuad utama KDA FC.

“Banyak kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki. Pihak kejurulatihan pun perlu diberi sokongan. Pihak penyokong juga perlu memahami bahawa pasukan Kedah ini pasukan yang baharu dibentuk.

“Di atas padang itu mungkin pemain baharu, muda yang tidak pernah bertanding sebelum ini dan tentulah lebih agresif.

“Kemungkinan Kedah juga agak malang tahun ini apabila dua orang pemain import mengalami kecederaan, jadi kita agak sukar dengan banyak cubaan.

“Boleh saya sebut di sini juga mungkin Kedah kurang bernasib baik kerana lapan perlawanan yang terakhir ini, tujuh adalah away. 

Tan Cheng Hoe

“Kita melihat prestasi Liga Super ini, kalau jadi tuan rumah menang, kalau bukan home kalah. Banyak lagi pasukan bukan setakat Kedah sahaja tetapi Kedah agak mencabar kerana bermain di luar daripada Stadium Darul Aman sebanyak 7 perlawanan.

“Jurulatih masa lagi diberi amanah yang tinggi untuk mengemudi pasukan beliau dalam keadaan serba kekurangan, pemain baru dan muda. Apa yang disebut tadi adalah ura-ura semata-mata,” jelasnya kepada media selepas sidang media Piala Emas Raja-Raja.