KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berpuas hati terhadap persembahan anak buahnya dalam aksi menentang Kuching City FC meskipun berdepan kesukaran dari sudut perjalanan untuk tiba di bumi Sarawak itu.
Cheng Hoe memuji pemain-pemainnya kerana mengekalkan taktikal disiplin yang cukup tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.
“Memang kami rasa cukup puas hati biarpun perjalanan kami ke sini kurang lancar. Secara keseluruhan, pemain menunjukkan taktikal disiplin yang cukup baik. Apabila kita menyerang, ada pemain di kawasan kotak penalti.
“Apabila kita bertahan, kita juga mampu menyerap tekanan dari Kuching City FC yang turut mempunyai kekuatan dari serangan mereka,” ujar Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Negeri Sarawak.
Mengulas persiapan bertemu Sri Pahang FC dalam aksi seterusnya, jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah itu menganggap masih terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar pemain kerana perlawanan liga baharu sahaja bermula.
“Terlalu awal untuk kita melihat tahap seratus peratus permainan setiap pemain. Kita kena bersedia dalam setiap perlawanan nanti,” ulasnya.
Selangor FC turut bertuah kerana semua pemain berada dalam keadaan yang baik dan tidak dihimpit masalah kecederaan.
Cheng Hoe tidak menjangka Gergasi Merah mampu menjaringkan lima gol namun berbekalkan kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan, dia merasakan Selangor berhak meraikan kemenangan tersebut.
“Setakat ini, pemain dalam keadaan yang baik. Ia berita baik buat pasukan kami. Kita pun tidak jangka kita mampu dapat lima jaringan gol dan saya rasa dari segi teamwork dan spirit pasukan, kita nampak setiap pemain kesebelasan utama dan pemain simpanan yang diturunkan menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dalam permainan tadi,” katanya.