KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak berselindung mengatakan dia tidak berpuas hati dengan aksi semua pemain pada babak pertama dan mahu perubahan yang berlaku pada babak kedua diteruskan dalam setiap perlawanan.

Gergasi Merah nyaris dimalukan PDRM FC pada aksi pembukaan Piala Malaysia selepas ketinggalan 1-0 pada babak pertama sebelum bangkit menjaringkan empat gol pada babak kedua untuk melengkapkan kebangkitan bergaya.

“Dalam babak pertama kita begitu ‘sloppy‘ dengan kita agak perlahan dalam semua bahagian hingga dibolosi gol tetapi berubah pada separuh masa kedua dengan disiplin pemain dan dua pertukaran dilakukan serta keinginan pemain untuk menang itu sangat penting.

“Kalau lihat pada babak pertama, sebagai jurulatih saya tidak berpuas hati dengan setiap pemain yang diturunkan dan berlaku perubahan yang besar pada babak kedua. Itulah sikap yang perlu dibawa dalam setiap perlawanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Meskipun dilihat sudah selesa dengan kelebihan empat gol, Cheng Hoe masih tidak mahu mendabik dada sebaliknya mahu para pemain mengekalkan fokus bagi menghadapi apa jua situasi ketika perlawanan kedua nanti.

“Dalam bola sepak 4-1 masih tidak menjamin kemenangan dan layak ke peringkat seterusnya ditambah jadual yang agak padat. Jadi kami perlu bersedia dalam apa juga situasi dan perlu kekalkan fokus dan apa yang paling penting adalah setiap individu perlu tingkatkan prestasi untuk aksi kedua nanti,” jelasnya.

Dua jaringan daripada Ayron Del Valle serta masing-masing satu dari Harith Haiqal dan Yohandry Orozco pada babak kedua sudah cukup untuk memastikan juara 33 kali itu membuka tirai Piala Malaysia dengan langkah kanan.