KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mahu para pemainnya berwaspada dengan kekuatan pasukan Kedah Darul Aman FC serta memberikan fokus dari awal perlawanan bagi memastikan Gergasi Merah berjaya meraih keputusan positif sekaligus layak ke pertandingan Asia musim hadapan.
Cheng Hoe yang ditemui ketika sesi latihan terakhir di Pusat Latihan SFC turut gembira kerana persiapan pasukannya berjalan lancar dengan kesemua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik dan bebas daripada penggantungan.
Dia yang sedar Kedah sangat berbahaya di tempat sendiri akan hanya menetapkan corak permainan menjelang hari perlawanan kerana masih ada beberapa perkara yang perlu dilihat dalam sesi latihan pasukan.
“Secara keseluruhan persiapan dalam latihan dua tiga hari ini cukup baik dan semua pemain bebas dari kecederaan dan penggantungan. Ada pemain yang sedikit keletihan selepas bersama skuad kebangsaan tetapi kini mereka semakin baik dan diharap mampu berikan prestasi baik menentang Kedah nanti.
“Ianya bukan satu perlawanan yang mudah dan cukup getir apabila berhadapan Kedah di hadapan penyokong yang ramai yang akan jadi motivasi buat Kedah. Kita mahu dapat keputusan positif dan yang paling penting adalah fokus pemain dalam perlawanan ini.
“Kedah sangat bahaya seperti yang mereka tunjukkan ketika bertemu JDT di mana mereka dapat jaringkan tiga gol ke atas pasukan yang cukup baik ketika itu jadi kami perlu berwaspada dari minit pertama hingga tamat perlawanan,” katanya.
Cheng Hoe tidak menganggap keterujaan penyokong yang mahu menyaksikan Selangor ke Asia musim hadapan sebagai tekanan sebaliknya itu adalah cabaran buat mereka untuk tampil lebih baik dalam perlawanan penting ini.
“Ianya bukan tekanan untuk ke Asia sebaliknya satu cabaran kerana bukan mudah menghadapi musim yang panjang dan kami juga mahu tunjukkan peningkatan prestasi setiap pemain dalam pasukan.
“Kita belum buat sebarang keputusan kerana kita tahu Kedah akan bermain secara ‘offensive’ dan kita perlu lihat pada hari perlawanan untuk tentukan perancangan terbaik sama ada mahu menyerang atau bertahan tetapi pemain perlu bersedia untuk sesuaikan diri dengan taktikal yang akan diterapkan.
“Sudah tentu kita akan turunkan kesebelasan terbaik terutama dalam perlawanan ‘away’ terakhir ini kerana kita juga mahukan keputusan yang positif dan kekuatan di setiap posisi termasuk pemain simpanan sangat diperlukan untuk memberi cabaran kepada Kedah,” jelasnya.
Selangor dan Kedah bakal bertarung untuk penentuan tiket ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan dengan Stadium Darul Aman akan menjadi medan pertarungan dua pasukan dalam satu pertemuan yang dijangka menarik.
Kemenangan akan menjamin Selangor tempat ke ACL2 tetapi sekiranya tewas mereka perlu menunggu perlawanan terakhir menentang PDRM FC di Kelana Jaya untuk mengetahui nasib mereka manakala Kedah memerlukan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan terakhir mereka.