PERSEORANGAN lelaki Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo menganggap suasana di Axiata Arena adalah seperti ‘rumahnya’ sendiri.
Katanya, sokongan padu dari peminat badminton Malaysia, membangkitkan semangat luar biasa dalam dirinya, sehingga menganggap bagai beraksi di laman sendiri.
Dia menganggap peminat badminton Malaysia cukup sporting apabila melaungkan namanya dan memberi sokongan kepada pemain berdarah Papua itu.
“Penontonnya meriah juga, memberi sokongan kepada saya. Banyak penyokong Malaysia dan Indonesia yang datang di sini, jadi cukup membangkitkan semangat saya di sini.
“Saya merasakan ini sebagai home saya untuk bermain di Axiata Arena. Dengan sorakan penyokong yang panggil nama saya, membuatkan saya merasakan gelanggang ini seperti rumah saya,” kongsinya kepada Flash Sukan.
Dilahirkan pada 15 Jun 1998, di Jayapura, Chico memulakan kariernya di PB Pemda Papua (kini PB Cendrawasih), dan berpindah ke Jakarta untuk menyertai kelab Exist pada 2013.
Pada 2015, dia telah dipilih untuk menyertai pasukan kebangsaan sebagai pemain simpanan skuad Indonesia.
Setahun selepas itu, Chico beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol, berjaya meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki.
Malaysia Masters menjadi kejohanan Jelajah Dunia BWF pertama yang dimenangi Chico selain muncul naib juara Masters Sepanyol pada 2021.
Chico juga berada dalam pasukan Indonesia ketika menjulang Piala Thomas 2022 di Aarhus, Denmark.