KEMASUKAN skuasy dalam program Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, membuatkan China mengorak langkah memburu kemasyhuran baharu, apabila dikatakan mula memburu pemain termasuk dari Malaysia untuk ditawarkan kewarganegaraan.

Malah mereka cuba mendapatkan pemain skuasy dari negara yang dominan selain turut menawarkan jurulatih kewarganegaraan bagi memburu kemasyhuran segera di Amerika Syarikat (AS).

Menurut sumber, China sudah mula membuat penawaran itu, terutamanya mencari pemain yang berketurunan Tionghua bersandarkan faktor ras dan kemampuan berbahasa Mandarin.

Sejak 2015, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) berulang alik mengatur program pembangunan skuasy di China.

Sememangnya tidak mudah namun mengikut peraturan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), atlet yang mahu menukar kewarganegaraan perlu sekurang-kurangnya tidak mewakili negara kelahirannya selama tiga tahun berturut-turut.

Namun, syarat tersebut mungkin boleh dikurangkan atau dimansuhkan oleh Ahli Lembaga Eksekutif IOC dengan persetujuan Jawatankuasa Olimpik Nasional negara terbabit.

Minat yang ditunjukkan China itu bagaimanapun tidak dianggap Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) sebagai ancaman, sebaliknya menagnggap kehadiran negara sukan terbesar di Asia itu, sebagai petanda positif kemajuan skuasy di dunia selain ada aspek yang boleh dimanfaatkan pemain negara pada masa hadapan.

Malaysia dan Hong Kong, antara negara yang memiliki pemain skuasy bertaraf dunia dan berketurunan Tionghua.

Presidenya, Gerard Monteiro berkata, usaha China itu berada dalam pengetahuan pihaknya namun, beliau yakin dengan bakat-bakat yang dimiliki Malaysia.

“Sekarang skuasy ada dalam Olimpik, sudah tentu mereka (China) akan membelanjakan banyak wang ke dalam skuasy dan kita dapat melihat bekas pemain kebangsaan yang juga bekas jurulatih negara, Ong Beng Hee sedang membentuk akademi skuasy yang besar di negara itu.

“Kita sentiasa memantau perkembangan di sana, tetapi, kita lebih selesa melihat perkembangan itu daripada sudut positif di mana pemain kita juga boleh pergi ke China menggunakan kemudahan di sana,” katanya.

Malaysia dan Hong Kong, antara negara yang memiliki pemain skuasy bertaraf dunia dan berketurunan Tionghua.

Skuasy sudah lama bertapak di Malaysia dan negara ini memiliki ramai pemain handalan dunia seperti Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Ong Beng Hee dan Mohamad Azlan Iskandar.

Jelasnya, selepas pemain-pemain itu bersara, Malaysia terus melahirkan pemain yang mampu menghadirkan cabaran di pentas antarabangsa dan kali ini, menerusi S Sivasangari, Ng Eain Yow, Aifa dan Aira Azman serta C Ameeshanraj.

Difahamkan, perkembangan sukan skuasy di China ketika ini bersifat eksklusif, hanya mampu dimainkan golongan kaya raya, malah kos menyewa gelanggang juga terlalu mahal.