PASUKAN Baseball5 Chinese Taipei muncul juara sulung Kejohanan Piala Asia Baseball5 apabila menewaskan Jepun 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Grand Ballroom Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kejayaan ini adalah yang pertama buat pasukan Chinese Taipei sekaligus muncul juara Asia untuk membawa pulang pingat emas dan layak ke Piala Dunia Baseball5 di Mexico pada November 2022.
Meskipun tewas dan mendapat pingat perak, Jepun akan tetap mengiringi Chinese Taipei ke Piala Dunia mengisi dua dari tiga slot yang ditetapkan untuk kelayakan zon Asia.
CHINESE TAIPEI is the first Baseball5 Asia Cup Champion 🏆 and qualifies for the #Baseball5 World Cup 2022 in Mexico 🇲🇽
🎥 Follow the Medal Ceremony here https://t.co/ugF0jAzDq9#baseball5 #b5asia #wbsc #playeverywhere@WBSC@ctba pic.twitter.com/ICTTEupeB5
— 🖐 Baseball5 ⚾︎ (@Baseball5) August 19, 2022
Satu lagi slot ke Piala Dunia Baseball5 menjadi milik pasukan Korea Selatan selepas berjaya mendapat tempat ketiga apabila menewaskan Hong Kong 2-0 yang terus menutup peluang Hong Kong untuk layak ke Mexico.
Skuad Baseball5 Malaysia menduduki tangga kelima dengan Singapura keenam dan Thailand, Filipina serta Pakistan masing-masing mengisi tangga ketujuh, kelapan dan kesembilan.
Hadiah serta trofi kejuaraan disampaikan oleh Presiden Softball Asia, Dato’ Low Beng Choo yang turut diiringi Naib Presiden Softball Asia, Art Yotsakrar dan Kim Eun Yong.
Baseball5 adalah disiplin baharu sukan Baseball-Softball yang hanya memerlukan sebiji bola sahaja dengan lima pemain yang boleh dimainkan di pelbagai permukaan bersaiz 1800cm x 2100cm.
Sejak sukan ini diperkenalkan, ianya berkembang baik dan mendapat sambutan yang baik dari seluruh dunia dan disiplin sukan ini juga telah diterima sebagai salah satu acara dalam Sukan Olimpik Belia di Dakar, Senegal pada 2026.