LEGENDA badminton kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei berpesan kepada semua penyokong Malaysia terutama netizen supaya lebih berhati-hati apabila membuat sebarang komen mengenai prestasi atlet Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Dia yang memuat naik hantaran di media sosial instagram peribadinya tidak mahu para penyokong terus menjadi ‘keyboard warrior‘ yang boleh menjejaskan perpaduan kaum Malaysia hanya kerana berbeza pendapat.

“Untuk penyokong-penyokong termasuk diri saya, jom kita teruskan sokongan. Yang nak komen biarlah berpada-pada Bagilah nasihat yang ‘constructive‘.

“Janganlah kau bermisai dan gigi jongang tapi profil muka awek suci lepas itu kasi komen-komen yang negatif yang boleh merosakkan keyakinan atlet kita dan memusnahkan perpaduan negara. Jangan jadi ‘keyboard warrior‘ je!,” tulisnya dalam hantaran itu.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu turut memuji usaha wira-wira negara yang berjuang membawa nama negara dan turut menyeru supaya pembaharuan dilakukan untuk memastikan pingat emas dapat dicapai di Temasya Los Angeles 2028.

“Terima kasih jaguh-jaguh negara kerana menyatupadukan bangsa Malaysia dengan persembahan padu di Paris. Anda semua telah mengharumkan nama negara di persada dunia.

Dato’ Lee Chong Wei di puncak kegemilangan, suatu masa dahulu. -Sumber Instagram leechongweiofficial

“Saya berharap usaha untuk Los Angeles 2028 kena berlaku segera. Atlet, jurulatih dan badan-badan sukan haruslah menggunakan pengalaman di Paris untuk meningkatkan lagi usaha untuk impian emas empat tahun lagi. Kita cuba lagi. Malaysia Boleh!,” jelasnya.

Kontinjen Malaysia menamatkan Sukan Olimpik Paris dengan pencapaian sederhana dengan hanya membawa pulang dua pingat gangsa dari sukan badminton manakala impian meraih emas pertama tidak kesampaian.