KEHILANGAN belum berganti, satu lagi ‘bala’ datang melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Akademi Badminton Malaysia (ABM), apabila Pengarah kejurulatihan Perseorangan ABM, Wong Choong Hann, meletak jawatan.

Hal itu disahkan Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh, yang mengakui ‘pening’ perlu mencari calon terbaik ketika kempen kelayakan Olimpik Paris sudah bermula.

Menurutnya, Choong Han meletakkan penanda aras yang tinggi sekali gus memaksa badan induk badminton Malaysia itu untuk membuat penilaian terbaik terhadap calon penggantinya kelak.

“Seperti yang dimaklumkan, saya sahkan Choong Hann sudah menghantar surat peletakan jawatan. Memang kita hargai sumbangan serta bakti yang diberikan beliau sejak menjadi pengarah kejurulatihan sejak 2018.

“Sekarang cabaran kami adalah untuk mencari pengganti yang benar-benar layak. Bukan mudah untuk mengisi kekosongan itu kerana Choong Hann sudah letakkan penanda arasa cukup tinggi,” katanya, ditemui di ABM, Bukit Kiara, pagi tadi.

Setiausaha Agung BAM Dato Kenny Goh sahkan Wong Choong Hann hantar surat peletakan jawatan.

BAM mengesahkan peletakan jawatan Choong Hann selepas bekas naib juara dunia itu berasa tiba masanya meninggalkan badan induk itu, selain menganggap dirinya tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Keputusan yang diambil Choong Hann dilihat sebagai tamparan hebat buat ABM selepas Michelle Chai turut melepaskan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bulan lalu selain pemecatan Pengarah Prestasi Tinggi, Dr Tim Jones.

Justeru, kekosongan ditinggalkan Choong Hann akan digalas Hendrawan asambil dibantu Datuk Tey Seu Bock dan James Chua.

Kini ada tiga jawatan kosong di ABM, siapa agaknya bakal mengisi kekosongan itu, adakah calon tempatan atau antarabangsa, semuanyba bergantung kepada ‘selera’ BAM.