CHOONG Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri memasang impian besar untuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir, Disember depan selepas berjaya mengejutkan pasangan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan pertama Terbuka Korea.
Hon Jian-Haikal yang menghuni tangga ke-19 dunia, mengejutkan juara baharu Terbuka Jepun, Sze Fei-Nur Izzuddin yang berada di ranking ke-12 dunia, untuk mara ke saingan bertaraf Super 500 itu.
“Ya kami ada sasaran itu (Jelajah Dunia Akhir), tambahan pula ranking Jelajah Dunia kami agak baik ketika ini.
“Walaupun minggu lalu (Terbuka Jepun) kalah kepada Fajar Alfian-Rian Ardianto, kami rasa undian di Terbuka Korea lebih baik dan bernasib baik bertemu rakan senegara,” kata Haikal, kepada SPOTV Malaysia.
Menurutnya, pada pertemuan menentang Sze Fei-Nu Izzuddin, mereka tiada pilihan selain bermati-matian untuk menambah mata bagi melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir, yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada 11 hingga 15 Disember.
Ketika ini, Hon Jian-Haikal muncul pemain beregu lelaki negara di kedudukan tertinggi ranking Jelajah Dunia apabila berada di posisi kelima, dengan 51,000 mata di belakang Fajar-Rian (keempat), Lee Jhe Huei-Yang Po Han dari Taiwan (ketiga), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark (kedua) dan He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China (pertama).
Sze Fei-Nur Izzudin di ranking ketujuh manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik kesembilan.
Mengulas mengenai aksi berdepan rakan senegara yang telah memutuskan untuk bergelar pemain profesional bermula bulan hadapan, Hon Jian berkata: “Pada set pertama kami agak perlahan dan banyak melakukan kesilapan mudah.
“Pada set kedua dan ketiga, kami meningkatkan kelajuan dan ia berhasil membawa kepada kemenangan.”
Pada perlawanan itu, Hon Jian-Haikal menewaskan Sze Fei-Nur Izzudin 13-21, 21-16, 21-16 dalam masa 55 minit.