KETIBAAN bakal penyerang Perak FC, Christian Obiozor di KLIA menandakan isyarat skuad The Bos Gaurus sudah bersedia mengharungi saingan Liga Super penuh mencabar musim ini.
Berdasarkan video berdurasi 1 minit 19 saat yang dimuatnaik oleh YouTube TBG TV pada Selasa, Obiozor, 28, tampak bersemangat dan tidak sabar menyertai pasukan di Ipoh di bawah regim penuh inspirasi Lim Teong Kim.
Kehadiran pemain tinggi lampai 1.92 meter asal Nigeria itu dijangka menajamkan lagi bahagian serangan Perak merobek kubu lawan dan mengembalikan semula maruah bekas juara Piala Malaysia 2018 yang tercemar teruk musim lepas.
“Ya, setiap pemain dan sebagai penyerang anda mahu menjaringkan gol tetapi pertama sekali saya perlu bermain untuk pasukan dan menjaringkan gol,” katanya selepas menandatangani kontrak bersama Ketua Pegawai Eksekutif sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsudin.
Kelab terakhir diwakili Obiozor adalah Tadamon Sour di Liga Perdana Lubnan dan Malaysia adalah destinasi pertamanya dalam rantau Asia Tenggara dan dijangka tidak kekok menyesuaikan diri kerana miliki rakan senegara, Sunday Afolabi dalam pasukan kelak.
Untuk rekod, dia melakukan debut untuk Nigeria pada 11 Januari 2015 semasa menentang Ivory Coast dalam aksi persahabatan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.