CHRISTOPHER Raj, nama yang cukup sinonim dalam pengurusan media bola sepak dari Malaysia, sudah bersedia untuk memulakan satu lagi coretan menarik dalam kariernya yang penuh gemilang.
Selepas berjaya menggalas tugas selaku Pengurus Media pada kempen Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) di Indonesia penghujung tahun lalu, Christopher kini diamanahkan dengan tanggungjawab lebih besar.
Bersandarkan pengalamannya dalam operasi media, Christopher diberikan kepercayaan sebagai Pengurus Media pada kempen Piala Asia di Doha, Qatar yang dijadual berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari ini.
Ia merupakan kali ketiga Christopher menguruskan hal ehwal media kejohanan berprestij di rantau Asia, sekali gus membuktikan kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang komunikasi bola sepak.
Sebelum ini, Christopher yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah menguruskan hal ehwal media pada Piala Asia 2015 di Australia dan Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dengan hampir dua dekad penglibatannya yang cukup komited berdedikasi dalam arena bola sepak, Christopher telah banyak memainkan peranan bersandarkan pengalamannya.
Malah, pengalaman luas Christopher itu turut dicurahkannya dalam pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa termasuk kempen Piala Dunia 2018 di Rusia dan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Hasil daripada kemampuan dan kecemerlangannya dalam menguruskan media dalam pelbagai kejohanan bola sepak berprestij, Christopher kini berjaya membina reputasi tersendiri dalam kariernya.
Prestasi cemerlangnya itu melibatkan Piala Dunia B-17 2017 di India; Piala Asia 2015 di Australia; Piala Asia 2019 di UAE; Piala Emas CONCACAF 2019 di Amerika dan Liga Juara-Juara AFC edisi 2021 dan 2022.
Bagi kempen Piala Asia 2023, Christopher akan ditugaskan di empat stadium terkemuka di Qatar – Stadium Al Janoub, Stadium Al Bayt, Stadium Jassim bin Hamad dan Stadium Lusail.
Untuk rekod, Stadium Lusail pernah menjadi venue aksi final Piala Dunia 2022, sekali gus menambahkan lagi tanggungjawab Christopher dalam memastikan kelancaran perlawanan yang bakal berlangsung di stadium berkenaan.
Sepanjang kejohanan itu nanti, Christopher bertangunggjawab mengawal selia 15 perlawanan, bermula daripada aksi pembukaan sehinggalah kemuncak perlawanan akhir yang dinanti-nantikan.
Namun, berbekalkan pengalamannya luasnya hampir 20 tahun dalam arena bola sepak, Christopher diyakini mampu memastikan kelancaran operasi media di setiap venue berkenaan.
Piala Asia 2023 menjanjikan kehebatan setiap pasukan, sekali gus meletakkan Christopher selaku Pengurus Media sebagai individu penting dalam membawa elemen dramatik dan keterujaan kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.
Dengan menggalas cabaran baharu tersebut, Christopher akan terus meninggalkan impak positif dalam landskap pengurusan media bola sepak, seterusnya mempamerkan dedikasi dan semangatnya terhadap sukan nombor satu di dunia itu.