PENGURUS pasukan skuad Bawah 16 Tahun (B-16), Christopher Raj melaungkan keberanian dan mengatakan bahawa dirinya akan serta merta melepaskan jawatan yang disandang, jika pasukan ini gagal ke final Piala Asia 2025.

Perkara ini diakuinya sendiri menerusi satu hantaran yang dimuat naik ke laman Instagram rasminya berikutan kegagalan skuad B-16 untuk ke peringkat seterusnya dalam Piala AFF B-16 selepas tewas 1-3 kepada Thailand di saingan peringkat kumpulan.

Oleh itu, Christopher mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan skuad B-16 sekali gus berjanji bahawa anak buah kendalian Javier Jorda Ribera akan beraksi dengan lebih cemerlang pada Kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung kelak.

“Tidak adil jika semua kritikan hanya tertumpu kepada pemain. Kerana pada hakikatnya mereka masih muda dan perlukan kritikan yang membina untuk menaikkan semangat bukannya kritikan berbentuk tohmahan semata.

Skuad B-16 negara ada misi khas ke Piala Asia 2025. 

“Lantaran itu, saya selaku pengurus pasukan mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan ini. Saya berjanji skuad negara yang dibawah kendalian saya ini akan tampil lebih baik di saingan seterusnya, iaitu Kelayakan Piala Asia nanti.

“Saya juga mengambil tanggungjawab penuh akan bersara selalu pengurus pasukan sekiranya kami gagal ke final Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Laos 19 – 26 Oktober 2024,” ujarnya menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman Instagramnya.

Tambahnya, lebih elok jika posisinya digantikan dengan muka baharu yang mampu membawa satu fenomena baharu dan lebih baik dalam bola sepak negara khususnya untuk skuad B-16 ini.

“Tahun lalu, skuad negara berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023. Maka tidak mustahil kami berjaya melakukan sekali lagi.

“Bagaimanapun sekiranya gagal, saya akan mengundur diri untuk memberi peluang kepada muka baru menggalas tanggungjawab ini membawa skuad negara ke peringkat lebih tinggi sehingga mencapai misi ke Piala Dunia,” katanya.