MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengeluarkan kenyataan balas beberapa kenyataan dan ciapan yang sedang tular mendakwa bahawa Negeri Kelantan kononnya dinafikan hak untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan penularan info tidak benar itu merupakan satu kenyataan dan ciapan sangat tidak bertanggungjawab,
“Segala kenyataan itu menyimpang daripada hakikat dan iltizam Jawatankuasa Tertinggi Sukma bagi memastikan semua negeri berpeluang menjadi tuan rumah Sukma.
“Keputusan bersama itu dicapai hasil perbincangan di antara saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Roslan Wan Mahat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang bermesyuarat pada 16 Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Untuk rekod, Kelantan satu-satunya negeri yang belum pernah menganjurkan Sukma.
Ujarnya, keputusan supaya Kelantan menjadi tuan rumah Sukma 2028 adalah demi memberikan masa tambahan kepada kerajaan negeri menyiapkan infrastruktur sukan bagi penganjuran tersebut.
Ahmad Shapawi turut mengucapkan penghargaan buat Sarawak yang bersedia menganjurkan Sukma 2024 berikutan keputusan Johor memulangkan hak tuan rumah Sukma 2024 kepada MSN.
Jelasnya, kesediaan Sarawak dapat mengekalkan prinsip penggiliran tuan rumah antara pusat dan negeri dalam menganjurkan temasya Sukan Malaysia ini.
Doakan untuk saya. Difitnah orang Bersatu semalam, hari ini Ketua Pemuda PAS Kelantan pula fitnah. Pejabat saya telah membuat laporan polis. Exco Kelantan telah bersetuju semalam untuk jadi tuan rumah SUKMA 2028, memberi lebih banyak masa untuk siapkan pembinaan fasiliti sukan. pic.twitter.com/dnKYhuB2sf
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) March 17, 2023
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan membuat laporan polis selepas seorang pemimpin parti politik mendakwa beliau menggunakan kuasanya untuk menafikan hak Kelantan menganjurkan Sukma 2024.
Hannah berkata, tuduhan pemimpin politik itu yang dilaporkan dalam sebuah portal hari ini, adalah fitnah terhadapnya dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).