DUA pemain import baharu Sabah FC, Miguel Cifuentes dan Ramon Machado bakal diturunkan menentang Kuching City FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata bagaimanapun kedua-dua pemain yang berasal dari Sepanyol dan Brazil itu masih tertakluk kepada kelulusan ITC selepas jendela perpindahan kedua dibuka pada Rabu.
Kim Swee berkata kehadiran dua pemain ini sudah tentu akan dapat membantu skuad Badak mencapai kemenangan ketika beraksi di laman sendiri.
“Pada masa sama kita perlu berikan sedikit masa kepada Cifu dan Ramon untuk mendapatkan persefahaman secukupnya sebelum terus beraksi bersama Sabah FC.
“Pemain-pemain lain sudah bermain bersama-sama pasukan sebelum liga bermula dan sudah pasti dengan kemasukan Cifu dan Ramon, ia mengambil sedikit masa untuk memahami corak taktikal Sabah FC.
“Bagus untuk kita memikirkan tentang satu perlawanan ke satu perlawanan. Saya tidak ingin mengatakan apa yang perlu kita lakukan pada dua perlawanan jika perlawanan pertama kita gagal untuk mendapatkan objektifnya,” katanya.
Apa yang diperlukan oleh Sabah FC adalah untuk mendapatkan keputusan yang positif terutama menentang pasukan Kuching City FC sebelum bertemu Sri Pahang juga di laman sendiri minggu hadapan.
“Kita yakin Sabah FC kini berada dilandasan betul untuk mengharungi baki persaingan liga sekali gus mencapai keputusan positif pada setiap perlawanan,” jelasnya.
Sabah kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Kelantan FC 3-0 di Kota Bharu dan sudah tentu dua aksi di laman sendiri ini akan digunakan sepenuhnya untuk meraih mata penuh bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.