GIMNAS Wilayah Persekutuan, Cassidy Tan membuktikan umur bukanlah penghalang untuknya beraksi cemerlang di pentas tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) apabila meraih pingat emas kedua peribadi dan kontinjen Wilayah Persekutuan dalam sukan Gimrama.
Berusia 13 tahun, gadis comel itu tidak berdepan masalah untuk meriah emas dalam acara Gimrama Individu All Around selepas menewaskan rakan sepasukan, Nur Zhafirah Wong dalam aksi final pada Ahad.
Cassidy menamatkan rutin dengan catatan 104.900 mata mengatasi Zhafirah yang mencatatkan 104.200 untuk pingat perak manakala gimnas Negeri Sembilan, Dhaffatul Nurbaiti merangkul gangsa dengan 92.950 mata.
Kejayaan ini adalah pingat emas kedua buat Cassidy yang pada Sabtu telah berjaya memenangi acara Gimrama Berpasukan Wanita bersama-sama Nur Zhafirah Wong, Rhea Dhaliwall dan Ru-Zanne Sui menewaskan pasukan Selangor dan Negeri Sembilan.
Cassidy yang ditemui selepas majlis penyampaian pingat mengakui dia hanya melakukan yang terbaik buat kontinjennya dan tidak menyangka mampu memenangi kedua-dua pingat emas yang dipertandingkan setakat ini.
Saya rasa saya hanya melakukan yang terbaik dan ia di luar jangkaan saya. Saya hanya mahu melakukan yang terbaik untuk negeri saya dan saya rasa saya dapat melakukannya dengan baik tetapi saya tahu saya masih boleh memperbaikinya,” katanya.
Cassidy masih mempunyai peluang meraih tiga lagi pingat emas apabila bakal turun beraksi untuk acara individu belantan, bola dan riben pada Isnin sebelum sukan Gimrama melabuhkan tirainya.