SELANGOR FC membuktikan mereka lebih besar dari sebuah kelab bola sepak apabila menyantuni penyokong cilik yang meminati Gergasi Merah sekaligus bakal meningkatkan rasa sayang kanak-kanak itu terhadap kelab.

Menerusi satu video di laman X kelab yang dikongsi dari seorang penyokong @drmuhaimin, Selangor FC menerima kunjungan seorang kanak-kanak yang baru sahaja kehilangan ayahnya akibat komplikasi leukaemia pada 19 Februari lalu.

“Anak buah saya, Seth Ali sangat minat dengan bola sepak. Beliau baru sahaja kehilangan ayahnya kerana komplikasi leukemia. Dua hari lepas, Ali berpeluang untuk bertemu para pemain Selangor FC bagi mengubati kesedihannya. Terima kasih saya ucapkan kepada Selangor FC atas kesempatan yang diberikan kepada anak buah saya. Semoga Muhamad Arif Bin Abdul Rani tenang dan bahagia di alam sana. Love you Abang Arep,” tulis Muhaimin dalam hantaran itu.

Video berdurasi 67 saat itu menunjukkan bagaimana Seth Ali dan bapa saudaranya hadir ke Pusat Latihan SFC di Shah Alam dan kanak-kanak itu dapat berjumpa dan bermesra dengan para pemain dan pegawai Selangor FC yang berjaya menguntum senyuman di wajahnya.

Seth Ali turut dilihat bermain bola sepak bersama-sama Samuel Somerville dan menyepak penalti yang disambut kegembiraan pemain-pemain lain selain dia diberikan bola yang ditandatangani sebagai kenang-kenangan.

Kanak-kanak itu juga turut diraikan dengan bergambar secara berkumpulan dengan semua pemain dan pegawai yang terlibat dalam sesi latihan itu.

Seth Ali menyepak penalti 

‘Class Act’ yang ditunjukkan Selangor FC mendapat pujian netizen malah ada yang merah mata kerana menangis menonton pengakhiran video yang menyaksikan Seth Ali dan arwah ayahnya bermain bola sepak.

Perkara-perkara sebegini sememangnya akan menjadi kenangan dan penyebab kanak-kanak akan lebih dekat dengan kelab dan usaha sebegini perlu diberikan pujian dan harus dicontohi oleh setiap pasukan dan atlet tanpa mengira sukan apa sekali pun.