PERAK FC terus rancak membina barisan terkuat apabila mengumumkan ketibaan penyerang berpengalaman, Clayton da Silveira da Silva, untuk menyertai pasukan bagi musim 2024/25.

Pemain berusia 28 tahun ini berasal dari Brazil dan diharapkan dapat memberi impak yang besar kepada jentera serangan Perak.

Clayton, yang memiliki pengalaman bermain di beberapa pasukan di Brazil, membawa keupayaan serangan yang dinamik dan kemahiran yang berpotensi untuk mengukuhkan lagi prestasi pasukan The Bos Gaurus.

Keperibadian dan pemikiran taktikalnya dijangka akan memberi impak positif kepada pemain-pemain muda dalam pasukan kendalian Yusri Che Lah.

“Saya sangat gembira dengan pengalaman bersama pasukan Perak FC. Ini merupakan pengalaman pertama saya di Asia dan saya bersyukur atas peluang ini,” katanya menerusi TBG TV  pada Jumaat.

Terdahulu, pengurusan Perak mengekalkan empat tonggak import utama bagi musim 2023, termasuk Jesper Nyholm, Luka Milunovic, Sunday Afolabi, dan kapten pasukan, Luciano Guaycochea.

 

Dilahirkan di Rio de Janeiro, Clayton menyertai pasukan belia Figueirense pada tahun 2007, pada usia 12 tahun.

Pada 3 November 2012, dia tampil debut bersama pasukan utama dalam pertandingan Campeonato Brasileiro Série A melawan Flamengo, masuk sebagai pemain gantian.

Dalam pengembangan karier, dia berkelana ke Liga Ukraine untuk menyertai kelab Dynamo Kyiv musim 2020-2021 sebelum pulang ke kelab negara asalnya, Centro Sportivo Alagoano semusim kemudian.

Clayton sempat beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil B-22 dalam perlawanan bola sepak lelaki di Sukan Pan Amerika 2015 di Toronto, Kanada.

Semoga prestasi bersama pasukan dari utara itu dapat mengukuhkan lagi kedudukan Perak FC dalam saingan Liga Malaysia dan kejohanan lain pada musim ini.