JURULATIH pecut, Mohd Poad Md Kassim mengakui meremang bulu romanya melihat perkembangan Muhammad Azeem Fahmi,yang menyertai kem latihan skuad pecut kebangsaan selama dua minggu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pengamatannya itu sekali gus menerbitkan satu perasaan yang kuat, mengatakan pemilik rekod kebangsaan acara 100 meter (m) boleh layak ke Olimpik Paris secara merit.
Menurutnya, kemajuan dicapai Azeem sudah tentu dapat membantu kuartet 4x100m melakukan catatan lebih baik di Kejohanan Olahraga Asia, yang berlangsung di Bangkok, Thailand bermula esok.
“Kehadiran Azeem sudah tentu banyak memberi impak kepada rakan-rakan yang lain dan kita tengok… teknik lariannya berbeza dan perkara itu membantu rakan-rakan yang lain mempelajari sesuati dari teknik dan kemahiran yang ada padanya, dan mereka sememangnya mempelajari teknik larian Azeem.
“Melalui dua fasa latihan di UPSI, kita juga sudah menjalani latihan lari berganti-ganti dan ada perlembangan yang menarik, malah Thaqif (Mohammad Thaqif Hisham) yang menggantikan Haiqal (Hanafi) kerana mengalami kecederaan juga nampak serasi dengan kuartet ini,” kata Poad.
Menurutnya, selain Azeem, tiga lagi pelari, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa mempunyai catatan agak sama, malah Thaqif sendiri melakukan catatan terbaik tahun ini 10.46 saat (s), yang dilakukan di Hong Kong.
Meskipun akan berdepan persaingan lebih hebat di Hangzhou, berbanding di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu, peluang menyerlah tetap ketara buat skuad negara di Sukan Asia 2022, yang akan berlangsung di Hangzhou, China, 23 September hingga 8 Oktober depan.
“Pingat dalam acara 4x100m InsyaAllah… tapi yang pertama mungkin daripada individu iaitu Azeem yang berada dalam keadaan baik sekarang, malah meremang bulu lengan saya melihat perkembangannya ketika latihan.
“Saya harap dia dapat lakukan sesuatu untuk dirinya dan berkemungkinan boleh layak ke Olimpik secara merit.
“Azeem menjalani latihan menggunakan modulnya sendiri, saya tidak ganggu.
“Tetapi saya boleh katakan kuartert 4x100m lelaki dan wata negara mungkin dapat melakukan kejutan.”
Untuk rekod, Azeem memegang rekod kebangsaan 100m lelaki dengan catatan 10.09s yang dilakukannya di Cali, Columbia pada Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu.
Manakala Azeem turut berada dalam kuartet yang merakam rekod kebangsaan 4x100m lelaki, bersama Muhammad Arsyad Saat, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail, 39.09s, yang dilakukan di Sukan Asia Hanoi, Vietnam, tahun lalu.
Dalam pada itu, rekod 4x100m wanita pula diperbaharui di temasya Sukan Sea Kemboja Mei lalu, apabila kuartet Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Nor Aishah Rofina Aling, dengan catatan 44.58s mengatasi catatan lama 45.18s.