ADAKAH penyokong Harimau Malaya sekali lagi akan berhadapan situasi kekurangan tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila sebuah lagi konsert mega akan diadakan ketika tempoh kalendar Fifa pada November?
Ini kerana konsert kumpulan terkenal dari Britain, Coldplay dijadualkan pada 22 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil sehari selepas tamat tempoh kalendar Fifa dari 13 hingga 21 November 2023.
Pada Januari lalu, konsert superstar Taiwan, Jay Chou telah diadakan pada 15 Januari yang menyaksikan 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana binaan pentas konsert sekaligus menjejaskan kehadiran penyokong untuk perlawanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 antara Malaysia dan Thailand di stadium yang sama.
Ramai yang menjangkakan pihak berwajib sudah mempelajari situasi ini tetapi nampaknya pisang mungkin berbuah dua kali apabila Stadium Nasional Bukit Jalil berkemungkinan tidak dapat digunakan langsung untuk perlawanan Harimau Malaya.
Perkara ini turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan beliua berkata perkara ini sudah dimaklumkan kepada Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut bersetuju dengan perkara ini dan akan mencari jalan dengan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
ARTIKEL BERKAITAN: Coldplay Music Of The Spheres World Tour: Harimau Malaya bagaimana?
“Perkara ini saya dah bincang dengan YB Menteri bersama CEO PSM kerana perkara ini sudah kali kedua berlaku dan ianya tidak boleh terjadi lagi dan YB Menteri setuju. Menurut kontrak kita dengan PSM, dimana semua kalendar Fifa perlu beri kepada kita dan jika ini berlaku lebih baik FAM pilih stadium lain.
“Tetapi kami dah dapat penyelesaian dengan YB Menteri dan akan tunggu hasil undian dan kita akan rayu pada AFC dan Fifa. Kami sudah ada perancangan jika 21 November itu Harimau Malaya perlu bermain di Bukit Jalil. Kita akan tunggu undian dahulu pada Julai,” katanya kepada media.
Kalendar Fifa pada November bakal menyaksikan Harimau Malaya beraksi dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan sokongan padu daripada para penyokong sangat ditagih anak-anak buah Kim Pan-gon dalam misi memperbaiki ranking dan persediaan menghadapi Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada Januari 2024.