AGAK terkejut penulis bila terbaca pengumuman Coldplay: Music Of The Spheres World Tour di laman sosial di mana konsert itu bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan.

Ini kerana penulis tahu skuad Harimau Malaya akan dijadualkan bermain dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 iaitu sehari sebelum konsert mega itu berlangsung.

Mana logik Perbadanan Stadium Negara (PSM)?

Apakah insiden pertembungan konsert Jay Chou dengan aksi separuh akhir Piala AFF 2022 ketika bertemu Thailand tidak memberikan pengajaran kepada PSM?

Disebabkan insiden itulah kita semua menyaksikan 21,000 tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan kerana mahu memberikan laluan kepada persediaan konsert Jay Chou.

Kesannya juga majoriti telah meluahkan rasa tidak puas hati selepas selebriti yang bakal melangsungkan konsertnya pada 15 Januari itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 berdepan Thailand.

Justeru, jika konsert Coldplay masih dilihat pendekatan yang sama seperti konsert Jay Chou dengan menghalang memberikan laluan untuk ‘pemain ke-12’ memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya, penulis fikir PSM mungkin tidak serik.

Ini kerana penulis yakin kekecewaan pasti hadir kerana Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini diumumkan sebagai ‘Home Of Harimau Malaya’ tetapi ironinya pasukan kebangsaan menerima layanan yang berbeza.

Sejujurnya penulis tidak tahu di mana perancangan PSM bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membincangkan isu ini yang jelas akan memberikan impak tidak sihat kepada bola sepak negara.

Bagi penulis mungkin kita masih memiliki tempoh masa untuk menyelesaikan isu ini agar penyokong Harimau Malaya dan peminat Coldplay dapat menerima situasi menang-menang sesama mereka.

Dan harapan penulis, FAM dapat mencari formula agar kali ini 89,000 penyokong-penyokong dapat turun ke stadium bagi memberikan sokongan teguh kepada skuad kendalian Kim Pan Gon.

Akhir kata daripada penulis, janganlah jadi ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

Demi lencana di dada!