MENTERI Belia Dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh menyatakan bahawa dia sudah pun mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung isu penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil November ini.
Ini susulan isu yang timbul apabila konsert kumpulan terkenal dari Britain, Coldplay pada 22 November itu bakal bertembung dengan perlawanan Harimau Malaya yang akan turun beraksi untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang dijadualkan pada pada 16 dan 21 November 2023.
Hannah turut menjelaskan bahawa beberapa pilihan telah diambil dan dia sendiri akan mengumumkan perkara itu apabila selesai peringkat undian yang bakal dijalankan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Julai 2023.
“Memang isu stadium kita akan seimbangkan di antara sukan dan konsert. Yang ini kita telah bincang beberapa pilihan tapi kita tak akan umumkan pilihan itu lagi. Saya kena tunggu undian terlebih dahulu yang mana Datuk Hamidin akan maklumkan kepada saya pada bulan Julai nanti,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas majlis Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia Sukan SEA Kemboja 2023 di Bukit Jalil.
Hamidin dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis menjelaskan bahawa insiden seperti ini tidak boleh berlaku lagi kerana FAM sudah pun membuat tempahan awal kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengikut tarikh-tarikh perlawanan skuad kebangsaan yang berlangsung dalam kalendar Fifa.
ARTIKEL BERKAITAN: Coldplay: “Kita tunggu undian, akan rayu pada AFC dan Fifa” – Hamidin
Perkara yang sama pernah berlaku Januari lalu apabila penyokong bola sepak tanah air berang apabila 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan pada aksi separuh akhir pertama Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bagi memberi laluan kepada pembinaan pentas konsert penyanyi terkemuka dari Taiwan, Jay Chou.
Ditanya wartawan pihak manakah yang bersalah sehingga terjadinya isu yang sama buat kali kedua, Hannah enggan mengulas lanjut mengenai isu itu kerana baginya masih terlalu awal.
“No komen. Masih pramatang untuk saya komen sekarang ini, jadi kita tunggu undian terlebih dahulu.”