COMO merekodkan kemenangan Serie A pertama mereka dalam tempoh lebih dua dekad selepas mengejutkan Atalanta 3-2, awal pagi tadi.
Terdahulu, perlawanan itu ditunda selama sehari akibat hujan lebat di Bergamo yang menyaksikan padang tidak dapat digunakan.
Skuad bimbingan Cesc Fabregas bangkit daripada ketinggalan selepas jaringan pembukaan Davide Zappacosta pada minit ke-18 untuk mengutip mata penuh buat kali pertama dalam saingan liga utama Itali sejak kali terakhir menewaskan Torino pada hari terakhir musim 2002/03.
Como menyamakan kedudukan menerusi Gabriel Strefezza sebaik babak kedua bersambung dan mendahului pada minit ke-54 apabila Sead Kolasinac menampan masuk boleh ke gawang sendiri.
Alieu Fadera melengkapkan kemenangan bersejarah Como ke atas Atalanta menerusi percubaan individu yang mengejutkan penyokong tuan rumah.
Pasukan itu ketinggalan satu mata di belakang juara Liga Europa, Atalanta yang berada di tempat ke-12 selepas permulaan musim yang sukar.
Atalanta di bawah Gian Piero Gasperini tewas dalam tiga daripada lima perlawanan pembukaan Serie A mereka dan tidak bernasib baik hanya mampu seri 0-0 dengan Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara, Jumaat lalu.
Ademola Lookman menjaringkan gol penalti pada minit kesembilan masa tambahan, tetapi sudah terlambat bagi tuan rumah untuk menafikan kemenangan Como.